BEA Balqis kembali aktif berlakon selepas bersalin anak kedua.
BEA Balqis kembali aktif berlakon selepas bersalin anak kedua.
Oleh Norhayati Nordin


Selepas lima tahun berusaha membina nama dalam bidang lakonan, baru kini bakat pelakon Bea Balqis Rameshan atau Bea Balqis, 26 dilihat kian bersinar.

Pelakon watak Sofea dalam drama bersiri Zahira disiarkan TV3 menerusi slot Samarinda itu mengakui jiwanya lebih serasi dengan karakter antagonis. Jelas Bea, apa yang pasti dia tidak sangka watak Sofea lakonannya itu berjaya meninggalkan kesan di hati peminat.

Bersua ibu kepada dua cahaya mata ini pada majlis pelancaran trailer dan tayangan amal perdana filem Isyarat Cinta lakonannya, Bea berkata, dia tidak kisah lakonannya menjadi perhatian dengan watak hitam.

“Sepanjang lima tahun membina nama dalam lakonan selepas menyertai program Pilih Kasih musim pertama pada 2009, saya banyak juga melakonkan watak baik. Pun begitu, bakat saya lebih mendapat perhatian apabila membawa karakter antagonis.

“Apapun, sama ada watak itu baik atau jahat sebagai pelakon saya perlu lebih kreatif dan memahami kehendak karakter,” katanya.

Mengakui lebih seronok melakonkan watak antagonis, Bea berkata, dia melihat karakter hitam lebih senang diingati penonton.

Bea bawa anak ke lokasi

Berbicara mengenai perkembangan terbarunya, Bea berkata, drama Zahira pun sudah selesai tayangan. Kini, fokusnya ditumpukan pada promosi filem Isyarat Cinta.

“Saya baru aktif berlakon semula selepas melahirkan anak kedua, Arhenna Rafella yang kini berusia lapan bulan. Anak sulung juga perempuan, Adellfea Raina, 4. Kini saya sedang mengintai-intai tawaran. Syukur, peluang berlakon masih ada cuma saya perlu pastikan watak sesuai dan jadual tidak bertindan,” katanya.

Berkongsi soal pembahagian masanya, Bea yang berkahwin dengan bekas penjaga gol pasukan Perlis, Amini Ahmad Tabarani, 27, berkata, keutamannya tetap pada suami dan keluarga.

Ujarnya, apa yang pasti suami memberi sokongan dan memahami minatnya berlakon. Menurut Bea, restu suami yang membuatkan dia aktif berlakon. Memaklumlah ada kala dia turut membawa bayinya ke lokasi kerana Arhenna masih menyusu badan.

“Arhenna tidak meragam atau mengganggu ketika saya menjalani peng­gambaran di lokasi. Dia tidur saja selepas menyusu. Ibu saya pun ikut sekali ke lokasi membantu menjaga Arhenna. Disebabkan dia tidak meragam pihak produksi tak tahu saya membawa anak ke lokasi,” katanya.

Selain itu, dia juga sudah menukar nama pentasnya kepada Bea Balqis kerana tidak mahu peminat keliru dengan status agamanya. Menurut wanita berdarah kacukan Melayu -India ini, dia pernah ditegur peminat ketika menjamu selera dengan hidangan daging.

“Enggan ia terus menjadi isu, kini saya mahu dikenali dengan nama Bea Balqis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Februari 2015 @ 8:13 AM