ANTARA artis yang dikaitkan dengan ‘kematian palsu’. FOTO Arkib NSTP
ANTARA artis yang dikaitkan dengan ‘kematian palsu’. FOTO Arkib NSTP
Wan Asrudi Wan Hasan

Bila cakap pasal berita kematian pastinya ia perkara serius yang perlu diberi perhatian.

Bukan hanya mengenai kematian itu sendiri, tetapi membabitkan siapa dan bagaimana kejadiannya pasti ramai yang ingin tahu.

Lebih-lebih lagi apabila ia membabitkan selebriti, orang kenamaan dan mereka yang dikenali ramai.

Bagaimana, isu kematian ini sering dijadikan bahan jenaka tak masuk akal atau mereka yang tidak pasti mengenainya yang berkongsi berita itu kepada pihak lain. Sehingga ada yang mula CP (copy paste) daripada satu kumpulan WhatsApp kepada kumpulan yang lain.

Dalam kalangan kita pasti terfikir atau ingin tahu mengenai berita yang dikongsi itu sama ada ia benar atau sebaliknya.

Perkara ini perlu diberi keutamaan, jangan dah kongsi nanti rasa pula menyesal dan timbul pertanyaan macam-macam.

Disebabkan itu beberapa kempen di media sosial dilakukan seperti saranan 'tak pasti jangan kongsi'. Ini harus diambil perhatian.

Jika individu yang terbabit dalam kematian itu bukan dalam kategori dimaksudkan kita. Pihak berkaitan mungkin tidak begitu berminat mengetahuinya.

Di sini juga kita dapat melihat peranan atau impak media sosial terhadap sesuatu hebahan membabitkan isu berita tertentu.

Sebelum ini beberapa nama selebriti dan orang kenamaan menjadi perhatian apabila dikatakan sudah meninggal dunia. Berita 'kematian palsu' itu disampaikan menerusi tangkap layar atau ciapan di media sosial tanpa ada pengesahan daripada ahli keluarga selain sahabat terdekat dengan mangsa.

Antara mereka yang pernah menjadi mangsa beberapa selebriti yang sedang sakit namun ada juga mengaitkan mereka yang tidak sakit, tetapi jarang muncul di khalayak ramai.

Mereka yang pernah dikaitkan dengan kematian palsu antaranya pelakon popular, Aaron Aziz, Nina Iskandar, Zarina Zainuddin dan ramai lagi.

Terbaharu, pelakon veteran dan popular menerusi drama bersiri Gerak Khas, A Galak pula dikatakan meninggal dunia.

Antara mereka yang kecewa dan berang dengan berita tidak benar itu adalah pengarah dan penerbit filem terkenal, Datuk Yusof Haslam, 69, yang kelmarin mengesahkan A Galak ataupun popular dengan watak Sarjan Misai itu setiap hari bersamanya dan menyifatkan ia dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang didapatinya kini semakin tidak terkawal di media sosial untuk tujuan tertentu.

"Perbuatan ini dilakukan orang yang bersikap tidak bertanggungjawab. Dah makin kerap berlaku dan saya harap mereka hentikan membuat dosa saja dengan menyebarkan berita palsu kepada orang ramai.

"Moga ada undang-undang yang tegas daripada pihak berkuasa dan berwajib bagi mereka yang melakukan penyebaran berita palsu ini. Kena ada hukuman denda yang setimpal atau penjara," katanya.

Kita pasti ramai setuju mahu tindakan tegas dikenakan kepada penyebar yang tidak bermoral ini kerana sudah melampau sangat dan menjadi satu perbuatan yang biasa bagi penyebar berita palsu.

Jika tindakan ini berterusan sudah pasti ia memberi kesan negatif kepada masyarakat malah pihak tidak bertanggungjawab terbabit dilihat seperti bebas melakukan apa sahaja.

Pesan kita kematian itu sudah pasti bagi setiap makhluk Allah yang bernyawa. Tetapi bila dan bagaimana cara kematian itu, hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Penulis Penolong Pengarang Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2023 @ 7:01 AM