IFA menemani suaminya yang menjalani pembedahan jantung semalam.
IFA menemani suaminya yang menjalani pembedahan jantung semalam.
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: "Saya mohon agar semua peminat mendoakan suami saya (Mohd Yani Abdul Rahman) segera sembuh seperti biasa," kata penyanyi dangdut, pengacara dan usahawan sensasi Ifa Raziah, 47.

Ifa yang baru sahaja meraikan ulang tahun perkahwinan yang ke-19 bersama suaminya terpaksa beraya di hospital selepas Mohd Yani perlu menjalani pembedahan jantung tersumbat di sebuah pusat perubatan swasta di Shah Alam, semalam.

Menurut Ifa, suaminya dimasukkan ke pusat perubatan swasta terbabit tiga hari lalu untuk menjalani pembedahan itu.

"Proses pembedahan membabitkan tempoh selama lima jam. Syukur Alhamdulillah, pembedahan berjaya dan semuanya berjalan lancar.

"Suami juga sudah sedar dan dia berada dalam keadaan baik-baik sahaja," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai penyakit suaminya pula, kata Ifa, suaminya sudah dikesan menghidap penyakit jantung tersumbat sejak empat tahun lalu.

"Suami sudah lama menghidap penyakit jantung ini tetapi dia takut untuk menjalani pembedahan di hospital sebelum ini," kata Ifa.

Tambahnya lagi, dia tidak berasa sedih apabila menyambut raya di hospital kerana menganggap ia sebagai ujian dari Allah SWT.

Malah suaminya dijangka akan dibenarkan pulang ke rumah dalam tempoh sehari dua lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2023 @ 3:50 PM