Mat London
Mat London
Syafil Syazwan Jefri


Ampang: "Seeloknya, tak usahlah cari publisiti murahan. Duduk diam-diam, orang akan sayang dekat dia,".

Demikian kata Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim yang menasihatkan agar pengarah dan penerbit, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berdiam diri dan tidak mengeruhkan lagi keadaan.

Ahmad atau lebih dikenali Mat London berkata demikian, ketika diminta mengulas mengenai laporan polis yang dibuat Idham minggu lalu, berkaitan isu Pameran Hantu Filem anjuran FDAM yang berlangsung baru-baru ini.

Menurutnya, Idham perlu tampil 'bersih' dan ada integriti sebelum membuat sebarang tuduhan.

"Dia tak ada integritikah? Kalau nak cerita mengenai orang, dia kena 'bersih'. Kalau SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) nak panggil pun, bukan ada salah laku apa. Dia punya kes pun belum selesai," katanya.

Ahmad juga menjelaskan bahawa, Idham dianggap seperti adiknya sendiri dalam keluarga besar industri seni tanah air.

"Dalam industri pun, dia (Idham) tak ke mana-mana. Kalau dia diam, perlahan-lahan, orang akan menyayangi dan terima dia.

"Kita ini satu keluarga. Saya kenal dia sebagai adik, sebagai keluarga. Janganlah nak menyisihkan diri dengan mencari publisiti sebab semua orang dalam industri, ketawakan dia.

"Buruk atau baik, dia tetap keluarga," katanya.

Ditanya sama ada Idham pernah menghubunginya secara peribadi, Ahmad berkata, tidak.

"Sejak tiga tahun lalu, sejak dia mula boikot saya, memang tak pernah hubungi satu sama lain. Apapun, saya doakan kesejahteraan dan kesihatannya," katanya.

Terdahulu, Idham membuat laporan polis berhubung dakwaan kos RM40,000 yang diluluskan oleh Finas kepada FDAM untuk menganjurkan program Pameran Hantu Filem.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2022 @ 5:51 PM