Muaz Zabir
Muaz Zabir
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelakon baharu, Muaz Zabir, 25, berkongsi pembabitan awalnya dalam karier seni umpama 'bidan terjun' yang tidak disengajakan demi kelangsungan hidup akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 lalu.

Muaz atau nama sebenarnya Muaz Mohamad Zabir berkata, dia asalnya bekerja sebagai jurulatih kecergasan.

Namun, disebabkan penularan Covid-19 dua tahun lalu dan negara melakukan beberapa kali PKP, dia akhirnya bertukar kerjaya.

"Disebabkan masalah kerja dialami, seorang 'client' saya yang bekerja sebagai penerbit meminta saya cuba buat peragaan dan jadi 'talent' di sebuah stesen TV. Kemudian, saya dapat tahu tentang program Fit For Action di TV3.

"Selepas dapat izin ibu, saya ikuti uji bakat diadakan dan Alhamdulillah, rezeki terpilih sebagai peserta. Sejujurnya, saya tiada bakat dalam lakonan sebelum ini, tapi kena usaha lebih. Saya masuk, memang sepenuhnya bermula dengan kosong," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas dia adalah contoh terbaik untuk kenyataan pernah dikeluarkan penerbit, Datuk A Aida berhubung 'ada rupa tapi tak ada bakat, boleh diasah', Muaz berkata ia bergantung pada tanggapan masing-masing.

"Saya bukanlah setuju atau tidak setuju dengan 'statement' (kenyataan) itu, sebab lain produksi, lain orang, dia ada lain tanggapan. Jadi, kita tak boleh menyalahkan apa yang A Aida cakap dan kita tak boleh salahkan netizen juga dengan pandangan mereka. Masing-masing ada pandangan masing-masing. Rupa itu adalah satu bonus, tapi usaha itu yang perlu," katanya juga juara bagi lelaki untuk program Fit For Action di TV3 yang berlangsung pada 8 Oktober lalu.

Ditanya juga sama ada kemenangannya kerana rupa yang kacak, Muaz berkata, dia berjaya kerana usaha.

Jelasnya, kalau nak dikatakan dia kacak, ada beberapa peserta lelaki lain yang lebih tampan daripadanya.

Muaz memaklumkan perjalanannya dalam persaingan Fit For Action juga berliku kerana pernah dua kali duduk di tangga peserta terbawah dan sekali tersingkir. Namun, rezekinya dia diserap masuk semula.

"Jadi, kini saya tekad akan teruskan usaha dengan mengikuti kelas-kelas lakonan yang ada untuk menimba lebih banyak ilmu pengetahuan bagi mempersiapkan diri bersaing dengan bakat-bakat lain," katanya.

Terdahulu, Muaz yang berasal dari Negeri Sembilan pernah muncul dalam beberapa iklan komersial produk di televisyen, termasuk bakal membintangi beberapa drama terbaharu di TV3, antaranya Bukan Hanya Sekadar Cinta terbitan A Aida Production.

Baru-baru ini, A Aida memaklumkan beliau mengutamakan pelakon lelaki kacak, 'sado' dan muda untuk diberikan watak utama atau hero dalam drama terbitan syarikatnya.

Katanya, formula itu dilihat berjaya berdasarkan beberapa drama yang diterbitkan termasuk yang baharu tamat bersiaran, Sekali Lagi Cinta Kembali yang menjadi 'trending' dan mencatat jumlah penonton tertinggi di Slot Akasia, TV3.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2022 @ 1:48 PM