Willie Spence
Willie Spence
Agensi

Los Angeles : Bintang American Idol, Willie Spence, 23, meninggal dunia selepas terbabit nahas jalan raya, semalam.

Pemenang tempat kedua musim ke-19 program itu dilaporkan maut akibat kereta dinaikinya melanggar sebuah treler yang berhenti di bahu jalan di Chattanooga, Tennessee.

Berita sedih itu turut dikongsi laman American Idol yang sangat terkesan dengan pemergian penyanyi muda berbakat besar itu.

"Hati kami hancur dengan pemergian ahli keluarga American Idol kami, Willie Spence. Dia sangat berbakat dan sentiasa menceriakan segenap ruang yang dimasukinya. Kami ingin ucapkan takziah kepada orang tersayangnya," kata kenyataan itu.

Pemergiannya turut diratapi semua yang mengenali Spence.

Juri American Idol, Luke Bryan turut berduka dan terkejut dengan berita sedih itu.

"Willie mampu menghidupkan suasana apabila memasuki mana-mana ruang. Dia mampu ubah 'mood' dengan begitu pantas apabila mula menyanyi. Dia akan dirindui selamanya," katanya.

Spence memukau juri serta pengikut program itu dengan nyanyian luar biasanya menerusi lagu Diamonds (Rihanna) sewaktu menghadiri uji bakat.

Juri, Lionel Richie menggelarnya sebagai bintang yang tiada tandingan. Pada pentas akhir, Spence akur tewas kepada Chayce Beckham yang dinobatkan juara American Idol musim itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2022 @ 11:43 AM