OHOUD kelihatan ceria dalam gambar sebelum kejadian. FOTO Agensi
OHOUD kelihatan ceria dalam gambar sebelum kejadian. FOTO Agensi
Agensi

ABU DHABI: Tiga beradik menanggung derita sepanjang hidup apabila terpaksa menjalani 20 pembedahan dan mengalami kerosakan otak akibat diserang dengan tukul ketika menginap di hotel mewah di London, lima tahun lalu.

Daily Mail melaporkan, kejadian berlaku pada April 2014 ketika Ohoud Al-Najjar dan adik-beradiknya, Khulood dan Fatima melawat kota London dan menginap di sebuah bilik berkembar di Cumberland Hotel di Marble Arch.

Serangan ganas itu menyebabkan Khulood terpaksa dibedah sebanyak 20 kali untuk memulihkan kepala dan muka manakala Fatima pula hilang deria rasa serta bau selain daya ingatan terjejas.

OHOUD kini hilang penglihatan. FOTO Agensi
OHOUD kini hilang penglihatan. FOTO Agensi

Ohoud pula tidak lagi berupaya untuk bercakap dan hilang daya penglihatannya.

Kejadian itu berlaku di hadapan tiga anak Khulood dan Ohoud dihentam dengan senjata di kepala hingga bahagian tengkoraknya pecah.

Penyerang mereka, Philip Spence dikatakan mempunyai rekod memecah masuk ke dalam bilik hotel dan mencuri, melakukan perbuatan itu di tingkat tujuh hotel iaitu tempat keluarga itu menginap.

Kesan kecederaan teruk itu dapat dilihat dengan jelas selepas keluarga dari Abu Dhabi itu kali pertama mendedahkan gambar perbezaan sebelum dan selepas kejadian.

Khulood yang berkerusi roda sejak lebih setahun lalu berkata, adiknya, Ohoud kini hanya mempunyai 5 peratus kapasiti otak, hilang kualiti kehidupan dan tidak berupaya meluahkan kesakitan yang dialami.

PHILIP Spence. FOTO Agensi
PHILIP Spence. FOTO Agensi

“Kejadian berlaku ketika kami sedang tidur namun saya terjaga apabila terdengar bunyi tapak kaki. Saya membuka mata dan melihat ada seseorang menggeledah barang kami sebelum diserang.

“Saya masih dihantui bunyi tapak kaki itu sehingga sekarang dan pengalaman terbabit kekal menghantui kami,” katanya.

Spence disabitkan dengan tiga dakwaan cubaan membunuh dan dijatuhkan hukuman penjara minimum 18 tahun namun tempoh itu kemudiannya ditambah kepada 27 tahun

Keluarga itu dilaporkan menyaman pihak hotel dan perbicaraannya dijangka bermula Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 7:53 AM