TINGGAL lapan masih berentap.
TINGGAL lapan masih berentap.
Georgie Joseph


Hanya tinggal lima episod, American Idol Farewell Season 2016 yang ditayangkan setiap Khamis jam 6 petang di saluran Star World semakin hampir menobatkan juara terakhir program realiti itu.

Selepas dua peserta daripada finalis Top 10 iaitu Gianna Isabella dan Olivia Roxx tersingkir baru-baru ini, kini tinggal La’Porsha Renae, Sonika Void, MacKenzie Bourg, Lee Jean, Avalon Young, Trent Hermon, Tristan McIntosh dan Dalton Rapattoni untuk berentap sesama sendiri.

Terdahulu, program terbitan FOX ini diumumkan akan dihentikan dan tahun ini menjadi edisi yang terakhir selepas 15 tahun bersiaran.

Beberapa musim kebelakangan ini, American Idol mendapat banyak kritikan selain disifatkan sudah hilang seri. Ia berikutan pelbagai program nyanyian lain lebih mendapat tempat di hati peminat termasuk The Voice.

Ironinya, untuk musim terakhirnya, seri itu seakan-akan kembali semula selepas beberapa insiden menjadi viral.

Ia termasuk persembahan beremosi bekas juara American Idol musim pertama iaitu Kelly Clarkson sewaktu tampil menjadi penyanyi jemputan.

Peserta yang berbakat besar untuk edisi kali ini nyata menjadi tarikan, malah banyak perdebatan di Internet mengenai siapa yang selayaknya menjadi juara musim terakhir itu.

Bagaimanapun, pertandingan kali ini turut dikuasai peserta wanita yang rata-ratanya memiliki kekuatan vokal luar biasa. Peserta wanita juga dijangka bakal menjulang trofi keramat itu nanti.

Antara yang mendapat perhatian ialah ibu tunggal La’Porsha Renae, 22, berdasarkan persembahan konsistennya sejak diuji bakat lagi. Vokal dan cara nyanyiannya kerap mendapat pujian juri.

Paling diingati setakat ini ialah persembahannya menerusi lagu Diamonds yang mendapat tepukan gemuruh daripada juri tetap Jennifer Lopez atau Jlo dan Keith Urban serta Kelly Clarkson selaku juri jemputan.

Tidak ketinggalan, peserta keturunan India iaitu Sonika Void mendapat banyak komen positif biarpun cara nyanyiannya masih terlalu amatur.

Lebih menarik, tiga juri JLo, Keith dan Harry Connick Jr membuktikan kerusi juri bukan pentas untuk mengkritik semata-mata.

Berbanding musim lalu, mereka nampaknya lebih berlapik memberi kritikan selain sering memberi nasihat serta panduan terbaik buat peserta.

Biarpun fenomena American Idol tidak lagi sehebat seperti musim terawalnya dulu, ternyata program dihoskan Ryan Seacrest itu masih ada pengikutnya.

Tidak dinafikan American Idol berjaya melahirkan ramai ‘superstar’ dalam arena muzik antarabangsa.

Selain Kelly, antara bekas pesertanya yang terus cemerlang termasuk Carrie Underwood, Jennifer Hudson, Adam Lambert dan Chris Daughtry.

American Idol berjaya mencipta fenomena apabila menjadi program nyanyian pelopor dunia sejak 2002. Antara yang pernah menjadi juri dalam program ini ialah Simon Cowell, Randy Jackson, Paula Abdul, Steven Tyler, Nicki Minaj dan Mariah Carey.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2016 @ 11:34 AM