Filem Mat Kilau cetus fenomena.
Filem Mat Kilau cetus fenomena.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Filem epik terhangat, Mat Kilau bakal ditayangkan di platform penstriman digital Netflix tidak lama lagi.

Dalam kenyataan kepada media, filem arahan Syamsul Yusof dengan jumlah kutipan paling tinggi dalam sejarah perfileman negara itu akan ditayangkan pada Hari Malaysia secara global.

"Dengan kejayaan yang ditempa di layar perak, Mat Kilau, filem dengan jumlah kutipan paling tinggi di Malaysia bakal ditayangkan di Netflix pada Hari Malaysia.

"Mat Kilau akan ditayangkan secara global pada 16 September kecuali di Indonesia, di mana, ia akan dilancarkan pada 14 Oktober," katanya.

Netflix juga mengumumkan, Mat Kilau akan menyertai 150 karya tempatan lain dalam koleksi Rekaan Rakyat.

"Mat Kilau juga akan menyertai 150 filem, drama bersiri dan karya animasi tempatan yang lain dalam koleksi Rekaan Rakyat, yang mana meraikan karya-karya terbaik dari Malaysia," katanya.

Antara karya yang tersenarai dalam koleksi Rekaan Rakyat adalah BoBoiBoy: The Movie, Fly by Night, Maria Mariana Ii, Jimi Asmara dan banyak lagi.

Filem Mat Kilau membariskan barisan pelakon hebat antaranya Datuk Adi Putra sebagau Mat Kilau, di samping Beto Kusyairy, Fattah Amin, Yayan Ruhian, Johan As'ari, Datuk Rahim Razali, dan Datuk Jalaluddin Hassan. 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2022 @ 12:34 PM