SYAMSUL Yusof.
SYAMSUL Yusof.

Kuala Lumpur: Pengarah Syamsul Yusof, 38, percaya penonton filem sendiri akan menerima baik sesebuah karya jika filem itu benar-benar bagus.

Ia dibuktikan dengan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan arahannya apabila berjaya mencatatkan kutipan RM5.1 juta dalam tempoh sehari, semalam.

"Apabila Allah berkehendak, kutipan tiket semalam hari Jumaat adalah RM5.1 juta (dalam sehari), hari orang bekerja. Jumlah pecah panggung adalah RM32 juta dalam sembilan hari.

"Terima kasih sambut saya dengan baik bila saya turun melawat pawagam. Saya terharu. Sebuah filem yang baik akan diterima oleh masyarakat. Dan majoriti masyarakat akan menghargainya sendiri tanpa perlu dipaksa. Majoriti," katanya.

Syamsul juga terbuka dengan kritikan diterima dalam pada fenomena filem itu terus disebut-sebut.

"Pengkritik? Biarlah mereka kerana itu normal dalam penghasilan filem. Kita sebagai pembikin filem harus jauh lebih cerdik dan satu langkah ke hadapan berbanding mereka. Semua baik-baik saja," katanya.

Kelmarin, filem terbabit turut menjadi filem nombor satu di Brunei. Syamsul menjangkakan filem terbitan Studio Kembara itu boleh mencecah atau lebih RM40 juta pada hujung minggu ini.

Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang mula ditayangkan sejak 23 Jun lalu menjadi filem epik Melayu yang berjaya pecah panggung selain dilihat mampu mengatasi filem kutipan tertinggi di Malaysia iaitu Munafik 2 juga arahan Syamsul.

Mat Kilau menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Johan As'ari, Yayan Ruhan dan ramai lagi.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 5:36 PM