Kutipan Mat Kilau terus meningkat.
Kutipan Mat Kilau terus meningkat.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Dalam tempoh 13 hari tayangan di semua pawagam terpilih di Malaysia, Singapura dan Brunei, filem epik terhangat, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan kini mencatat kutipan pecah panggung keseluruhan sebanyak RM53 juta.

Pengarahnya, Syamsul Yusof berkata dia kini hanya mampu memanjatkan kesyukuran kepada Allah dan ucapan terima kasih kepada semua penonton yang sudah menonton dan memberikan sokongan terhadap filem itu.

"Dalam 13 hari, Mat Kilau menjadi filem tempatan yang mencatat kutipan 'box office' tertinggi. Alhamdulillah dan terima kasih kepada semua penonton," katanya.

Ditanya juga sejauh mana filem Mat Kilau ini akan terus mendapat tayangan pawagam, Syamsul berkata, ia bergantung kepada sokongan berterusan penonton dan buat masa ini sangat menggalakkan.

"Apapun, menerusi rekod dicatat filem Munafik 2 dulu, kutipan keseluruhan RM48 juta itu diperoleh dalam tempoh lebih satu bulan tayangan di pawagam. Tapi, untuk Mat Kilau ini mungkin boleh bertahan lebih sebulan hingga ke dua bulan tayangannya di pawagam.

"Tapi, semuanya bergantung kepada sambutan penonton. Malah, filem Mat Kilau juga tidak akan masuk tayangan ke Astro First, tetapi, insya-Allah bakal ke Netflix selepas habis tayangan di pawagam nanti," katanya kepada Harian Metro.

Sehubungan itu, dengan kehangatan filem Mat Kilau yang mencetuskan fenomena luar biasa ini, turut difahamkan juga tayangan filem terbitan Marvel Studios, Thor : Love And Thunder ditunda dari 7 Julai kepada 21 Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Julai 2022 @ 10:09 PM