Ambil risiko rakam lagu Silent Times dengan melodi jelas lari daripada elemen romantik dikenali selama ini.
Ambil risiko rakam lagu Silent Times dengan melodi jelas lari daripada elemen romantik dikenali selama ini.
Oleh Georgie Joseph


Pada era 1990-an, Michael Learns To Rock menakluk dunia dengan irama lagu yang cukup romantik dan membuai.

Kegilaan peminat terhadap mereka sukar disangkal apatah lagi lagu seperti The Actor, That's Why (You Go Away), 25 Minutes dan Paint My Love memberi kesan tersendiri serta menyentuh.

Ibaratnya, setiap pasangan bercinta ketika itu masing-masing mahu jadikan lagu mereka sebagai lagu percintaan.

Penangan Michael Learns To Rock atau MLTR masih boleh dirasai dan kebanyakan lagu popular mereka menjadi siulan hingga sekarang.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, band dari Denmark dianggotai Jascha Richter (vokal dan keyboard), Mikkel Lentz (gitar utama), Kare Wanscher (dram dan percussion), dan Soren Madsen ( bass) ini jarang kedengaran berita mereka.

Kali terakhir mereka hadir dengan material hebat adalah pada 2006 apabila single Take Me To Your Heart benar-benar menaikkan mereka semula.

Sekian lama dinantikan, kini peminat yang merindukan band ini sudah tidak perlu berteka-teki lagi. Pada 25 Oktober lalu, akhirnya band yang hanya berbaki tiga anggota iaitu Jascha, Mikkel, dan Kare melancarkan album khas kompilasi lagu hebat mereka beserta dua lagu baru berjudul 25: The Complete Singles.

Berpeluang mewawancara anggotanya, Mikkel menerusi panggilan telefon kelmarin, nyata merungkai segala spekulasi band itu berdiam kebelakangan ini. Bukan saja berdiam, bahkan tiada lagu baru ditampilkan MLTR sedangkan pengikut pastinya mahu rasakan kembali nostalgia sebagaimana melodi romantik dibawakan mereka suatu ketika dulu.

Ada terbaca mengenai MLTR pernah mengambil keputusan untuk berhenti tidak lama dulu, lantas diajukan soalan itu kepadanya, Mikkel hanya tergelak mengimbau semula insiden itu.

"Keputusan itu tercetus selepas kami semua setuju tiba masanya untuk berhenti akibat sudah terlalu penat. Bukan saja masih terbabit dengan siri jelajah, pada saat itu memang kesibukan benar-benar membuatkan kami mengalah. Apatah lagi, masing-masing pun ada keluarga sendiri.

"Namun, keesokan harinya kami bertemu semula sambil mengimbau perjalanan karier dan banyak lagi perkara lalu. Semakin rancak berbual, kami menyedari sebenarnya terlalu banyak perkara yang indah untuk dikenang sekali gus memberikan kami kekuatan semula. Pada saat itu juga kami menukar keputusan dan tiba-tiba bersemangat untuk meneruskan perjuangan," katanya.

Seiring dengan semangat baru itu juga, mereka turut mengambil risiko menerusi lagu terbaru yang bakal dipertaruhkan berjudul Silent Times. Dilancarkan September lalu dan muzik videonya pula baru-baru ini, melodi lagu berkenaan jelas lari daripada elemen romantik band itu.

Lagu ciptaan Wayne Hector itu lebih 'up-beat' dan mengikut arus terkini.

Apapun, menyifatkan hal itu satu pembaharuan yang semestinya wajar buat MLTR, baginya mereka juga bertuah kerana Wayne sendiri memiliki profil mengagumkan.

Dia adalah individu yang bertanggungjawab menulis lagu penyanyi hebat lain termasuk One Direction, James Blunt, Nicki Minaj, Westlife, dan Olly Murs.

"Sebenarnya untuk single baru, ada banyak lagu diberi untuk kami pilih. Namun, seorang sahabat mencadang-kan kami untuk meneliti lagu itu dan ternyata terus sepakat menyukainya. Kami tidak memikirkan langsung hala tuju lagu bagaimana yang kami mahukan sewaktu itu.

"Bagaimanapun, lagu berkenaan nyata begitu memikat kami meskipun saya harus mengakui Silent Times memang lari daripada elemen kami. Tapi, kenapa tidak kerana bukan saja lagu itu segar dan menarik, inilah masa kami menonjolkan pembaharuan demi terus relevan dalam bidang muzik," katanya.

Datang Kuala Lumpur tahun depan

Berikutan pelancaran album berkenaan, pastinya perancangan lain termasuk siri jelajah sudah ada pada band itu untuk tujuan promosi.

Bukan saja di Barat, MLTR juga ternyata sentiasa dinantikan peminat di Asia dan khususnya di Malaysia sendiri.

Bertanyakan sendiri kepada Mikkel andai ada perancangan terdekat mahu mengubat kerinduan peminat di Malaysia, menurutnya tahun depan MLTR akan ke sini jika tiada aral.

Bahkan, dia sendiri me-ngakui tidak sabar ke sini kerana Kuala Lumpur antara lokasi paling memberi kesan di hati mereka sehingga sekarang.

"Asia adalah tempat yang sentiasa membuatkan kami teruja untuk lawati. Masih ingat lagi ketika era 1990-an kami bertandang dan sambutannya amat luar biasa sehinggakan masih terngiang-ngiang kegilaan peminat di sana.

"Bagaimanapun, saya pasti tidak dapat melupakan Kuala Lumpur sendiri apabila pada 1993 lalu kedatangan kami ke Malaysi kekal menjadi pe-ngalaman indah sehingga sekarang. Jujur, bagi saya sendiri terlalu banyak yang saya sukakan mengenai Malaysia termasuk cuaca, orangnya, dan tempat cantik tapi paling saya tidak lupa bagaimana peminat di situ menyambut kami dulu," katanya.

Berjudul 25: The Complete Singles, album terbaru MLTR itu memuatkan lagu hit mereka termasuk The Actor, Crazy Dream, Sleeping Child, 25 Minutes, Complicated Heart, Out Of The Blue, That's Why (You Go Away), Someday, Love Will Never Lie, How Many Hours, I'm Gonna Be Around,Nothing To Lose, Breaking My Heart dan ba-nyak lagi.

Selain Silent Times, sebuah lagi lagu baru berjudul Call On Love.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Oktober 2014 @ 5:01 AM