BENZOOLOO cabar diri daripada segi lirik hasilkan Timbang Seni.
BENZOOLOO cabar diri daripada segi lirik hasilkan Timbang Seni.
Georgie Joseph


SELEPAS tampil dengan single SOLID bersama dua orang lagi rakan industri iaitu Areen dan Dan.El pada Jun lalu, penyanyi rap Benzooloo terus merancakkan dunia muzik tanah air menerusi single terbaharunya berjudul Timbang Seni.

Bagi setiap penyanyi, sesuatu lagu yang dinyanyikan ataupun dicipta oleh mereka tentunya mempunyai keistimewaan dan penceritaan tersendiri. Menurut Benzooloo, 29, kali ini lagu Timbang Seni ditulisnya sendiri bersama Sabbala.

Ketika menulis lagu ini, mereka dalam keadaan bersantai dan seronok dalam menghasilkan karya terbaik untuk industri muzik. Benzooloo juga menghargai dan sangat suka setiap memori dilalui bersama Sabbala.

Secara tidak langsung, lagu Timbang Seni juga menggambarkan perasaan seronok dan bahagia buat pendengar kerana bait liriknya mempunyai makna menarik serta tersendiri.

Tambahan pula, lagu ini ditulis dengan Sabbala selepas sekian lama mereka tidak menulis lagu bersama, sekali gus ia menambah makna tersendiri.

"Setiap saat sepanjang penghasilan lagu ini adalah sangat istimewa bagi saya kerana sukakan rentaknya. Selain itu, lagu ini juga dihasilkan bersama Sabbala selepas sekian lama tidak menulis lagu bersamanya.

"Sampel lagu ini pula mempunyai unsur gelap, namun rentaknya tetap dibuat dengan rancak. Jadi, ia dapat menggambarkan perasaan kami dalam keadaan gembira pada ketika itu," katanya.

SABBALA
SABBALA

Dalam pada itu, ramai juga yang mengenali anak kelahiran Negeri Di Bawah Bayu itu dengan penulisan lagu serta lirik panjang. Namun, lagu Timbang Seni kali ini agak mencabar bagi Benzooloo kerana liriknya agak pendek dan bukan kebiasaan.

"Antara cabaran saya lalui adalah dalam aspek penulisan. Selama ini saya terbiasa menulis lirik yang panjang. Kali ini, saya belajar untuk jadikannya lebih ringkas dan berseronok saja ketika menulis," jelasnya.

Selain itu, menariknya juga adalah tempoh diambil untuk penghasilan lagu. Walaupun Benzooloo dan Sabbala sudah lama tidak menulis lagu bersama, tapi mereka berjaya menghasilkan karya ini dengan lengkap hanya selama sebulan.

Dibuat penuh jiwa dan raga, Benzooloo berharap single Timbang Seni bakal meresap dalam diri pendengar dan mendapat sambutan luar biasa.

"Untuk tempoh penghasilan pula, ia mengambil masa sebulan untuk menyiapkan lagu ini daripada permulaan hingga proses terakhir.

"Saya sebenarnya suka bereksperimen dengan aliran dan bunyian baharu untuk dibawakan ke telinga pendengar. Justeru, saya berharap orang ramai boleh menikmati dan menerima baik karya terbaharu daripada saya ini," katanya.

Sehubungan itu, single Timbang Seni boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, JOOX Music, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 6:44 AM