ZIZI, Benzooloo dan Sandra.
ZIZI, Benzooloo dan Sandra.
Georgie Joseph

Gandingan tiga anak seni kelahiran Sabah ini sememangnya istimewa.

Bergabung menerusi lagu Terkemuka, Zizi Kirana, Benzooloo dan Sandra Dianne mengakui bekerja dengan rakan sekampung ada nilai sentimental tersendiri.

Bukan mahu menonjolkan semangat kenegerian, sebaliknya dapat berkongsi satu misi dan perjuangan adalah bonus kepada apa yang diusahakan mereka selama ini.

Zizi, 33, yang memiliki sembilan tahun pengalaman dalam industri muzik berkata, dia berasakan ia satu kelebihan untuk meneroka lebih banyak sisi lain dalam dirinya serta bekerja dengan orang baru.

Lagipun, ia bukan perkara baru buat Zizi yang sebelum ini pernah menganggotai The Fabulous Cats dan Nukilan sebelum dikenali menerusi kerjaya solo beberapa tahun kebelakangan ini.

“Apabila mendapat tahu mengenai gabungan ini, serta-merta saya dapat rasakan ia akan menjadi sesuatu yang istimewa.

“Apatah lagi dapat bekerjasama dengan Benzooloo yang sememangnya berada dalam kelas tersendiri sebagai penyanyi rap. Jadi ia memberi dimensi baru kepada cara saya berkarya bagi mengikut rentaknya,” katanya.

Zizi mengakui cabarannya bukanlah besar mana pun sewaktu menghasilkan lagu itu. Bagaimanapun, dia belajar memperbaiki lagi dirinya terutama dari segi kemampuan melakukan rap.

“Proses menyiapkan Terkemuka memang tidak banyak cabarannya dan bekerja dengan mereka berdua lebih banyak rasa seronok daripada sukar.

“Memandangkan cara lirik rap Benzooloo memang memerlukan lebih usaha untuk pernafasan, saya perlu tingkatkan usaha,” katanya.

Benzooloo sedia tempuh arus perdana

Nama penyanyi rap ini barangkali kurang dikenali di arus muzik perdana.

Bagaimanapun, Benzooloo, 25, sebenarnya sudah bertahun-tahun membina legasi dalam komuniti hip hop.

Bermula dari bawah, pengikutnya kini sudah mencecah puluhan ribu. Itu baru yang mengenalinya dalam komuniti rap dikenali sebagai Lawalah Familia dan sebelum dia memasuki muzik arus perdana.

Dilamar Sony Music Malaysia bernaung di bawah label itu, Benzooloo berharap dia akan dapat merancakkan lagi industri muzik tanah air selepas ini.

“Memang ada kebimbangan memandangkan arus perdana adalah satu skop lebih luas. Selesa bergerak sendiri sebelum ini, saya anggap ia cabaran lebih besar untuk ditempuh.

“Bagaimanapun, saya sedia untuk semua itu memandangkan perjuangan utama saya pastinya tidak lain daripada menghasilkan karya terbaik. Saya juga sanggup berpindah ke Kuala Lumpur dari Sabah jika tuntutan seni lebih rancak di sini,” katanya.

SERONOK dapat bergabung dengan rakan sekampung dalam satu projek.
SERONOK dapat bergabung dengan rakan sekampung dalam satu projek.

Menghasilkan lagu Terkemuka bersama Malique, Tripdisz dan Takahara Suiko, Benzooloo berharap lagu berkenaan akan membawa tuah kepada mereka.

“Kami harap lagu ini akan diterima luar biasa dan menjadi karya agung yang boleh disebut-sebut sampai bila-bila.

“Semoga tuah juga menyebelahi kami untuk mempersembahkan Terkemuka di pentas gah termasuk Anugerah Juara Lagu,” katanya.

Sandra dapat nafas baru

Sandra, 24, yang menjadi penyanyi terakhir dipilih merealisasikan Terkemuka menyifatkan ia nafas baru buatnya kembali bersinar dalam persada muzik tempatan.

Pernah meledak dengan lagu Hey Kau tidak lama dulu, dia mengakui momentumnya memang menurun kebelakangan ini sehinggalah terbabit dalam projek itu.

“Pertama, saya sangat bertuah apabila dapat menjayakan projek yang menggabungkan tiga penyanyi dari Sabah. Ia menjadikan lagu ini lebih istimewa.

“Kedua, saya akui ini adalah nafas baru untuk mengembalikan semula momentum dalam bidang nyanyian. Saya sangat gembira terbabit dalam satu projek yang kira perkara baru untuk diri sendiri.

“Ia sekali gus menaikkan semula semangat saya untuk terus positif bahawa segala usaha membina nama selama ini tidak sia-sia,” katanya.

Enggan menoleh ke belakang, Sandra berharap menerusi lagu itu peminat kembali membuka mata mengenai kehadirannya dalam industri muzik.

“Awal tahun ini memberikan tamparan hebat dalam kerjaya seni saya. Saya hilang tawaran selama beberapa bulan selepas bergerak sendiri.

“Dalam tempoh itu, saya cekalkan hati untuk terus berusaha merancakkan kerjaya muzik sebaiknya. Apabila dapat tawaran menjayakan lagu Terkemuka, saya tahu ia peluang terbaik menonjolkan diri kembali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Ogos 2018 @ 8:45 AM