JUKI optimis dengan single baharunya, Pacu.
JUKI optimis dengan single baharunya, Pacu.
Sudirman Mohd Tahir


Def Jam Recordings Malaysia mencungkil bakat seorang lagi penyanyi rap wanita iaitu Juki yang juga pemenang pertandingan rap Playaz Rap Challenge 2020 dan pernah muncul dalam lagu DUA PULUH bersama bintang hip hop lain seperti Benzooloo, Siqma, Yonnyboii, Ical Mosh, Kmy Kmo dan Luca Sickta.

Sebelumnya, Juki juga sempat membuat kemunculan pada Februari lalu dan mendapat sambutan meriah di Mini Showcase kumpulan penyanyi wanita popular, Dolla.

Kini, Juki tampil dengan karya sulungnya berjudul Pacu. Disusun, diterbit dan digubah oleh Mingaling, lagu ini juga mendapat sentuhan lirik Amir Hasan bersama Juki sendiri.

Juki berkata, lagu Pacu mengisahkan pencapaian matlamat dan motivasi diri yang mana dia membayangkan dirinya dalam lagu itu.

"Lagu ini ada bayangan saya di dalamnya. Ia mengisahkan pencapaian, matlamat dan motivasi diri. Saya ingin kongsikan pendapat ini dengan semua yang mendengar.

"Saya berikan segala-galanya untuk lagu ini. Saya harap semua akan memahami pesanan yang cuba diluahkan dalam lagu ini. Saya mahu semua orang sedar bahawa jika mereka jatuh, mereka hanya perlu bangkit semula," katanya.

Menurut Juki, lagu Pacu menjalani proses rakaman tahun lalu dan mengambil masa sehari untuk diselesaikan.

"Kami mengambil masa sehari untuk menguruskan semuanya, termasuk pemilihan lirik dan cubaan untuk memasukkan irama berkaitan bagi melihat hasilnya. Rakaman pula dilakukan pada hari kedua kerana saya mempunyai sedikit kesukaran untuk menulis korus dan 'pre-hook' lagu ketika itu.

 JUKI harap lagu Pacu diterima baik oleh pendengar.
JUKI harap lagu Pacu diterima baik oleh pendengar.

"Selepas siap bahagian 'verse', Amir menyiapkan bahagian yang tinggal untuk Pacu. Akhirnya, semuanya berbaloi," katanya.

Dalam masa sama, lagu ini turut menampilkan sebuah muzik video hebat yang mengambil masa 12 jam untuk dirakam.

"Kami memulakan rakaman pada jam 11 pagi dan selesai jam 10 hingga 11 malam pada hari yang sama. Saya terpaksa ganti pakaian dan solekan beberapa kali pada hari itu dan ia memenatkan.

"Itulah kali pertama saya melihat orang bekerja di belakang tabir. Kini, saya semakin mengerti kerja keras di balik semua itu," katanya.

Juki berharap karya sulungnya itu akan dihargai oleh semua yang mendengarnya.

"Banyak usaha di balik projek ini dan saya harap motivasi serta cinta yang dikongsikan dapat dirasai oleh semua yang mendengarnya," katanya.

Lagu Pacu kini sudah dilancarkan di semua platform penstriman digital bermula 11 Mac lalu serentak dengan muzik videonya di saluran YouTube rasmi JUKIVEVO.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2022 @ 6:19 AM