Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Selepas 25 hari ditayangkan, filem fenomena Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan berjaya mencatat kutipan RM80 juta sehingga petang, hari ini.

Pengarahnya, Syamsul Yusof yang berterima kasih kepada semua penonton di Malaysia, Singapura dan Brunei berkata, sudah tiba masanya industri filem tanah air untuk bangkit.

"Kepada yang memberi komen positif untuk filem saya, syukur dan terima kasih. Saya amat terharu dan hargai anda. Kepada yang katakan filem saya kali ini sampah dan lemah, juga saya terima dengan berlapang dada, kerana 'there's no such thing as perfect film' (tidak ada filem yang sempurna)," katanya kepada Harian Metro.

Syamsul berkata, dia akan terus fokus dan sedaya-upaya membawa industri perfileman Malaysia ke peringkat tertinggi.

"Insya-Allah, saya akan terus fokus dan sedaya upaya membawa industri filem Malaysia ke satu peringkat yang lebih baik walaupun terlalu banyak kelemahan dalam industri filem Malaysia. 'Kelemahan' inilah yang sudah membunuh industri dan pengkarya filem.

"Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), orang filem dan kerajaan ayuhlah bangkit baiki kelemahan industri filem. Ayuh ikhlas dalam perjuangan ini," katanya.

Ditanya jangkaan filem itu mampu mencecah kutipan RM100 juta menjelang akhir bulan ini, Syamsul berkata, dia mensasarkan RM90 juta.

"RM100 juta itu terlalu tinggi, saya tak yakin tapi kalau RM90 juta mungkin. Itu pun tengok keadaan dan momentum filem ini macam mana. Filem ini pun dah agak lama dan lebih tiga minggu. Soal jumlah kutipan ini biar dulu, apa saya nak tekankan di sini adalah industri filem kita perlu bangkit," katanya.

Filem terbitan Kembara Studio itu menampilkan Datuk Adi Putra sebagai Mat Kilau, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Johan As'ari dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2022 @ 3:48 PM