Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Pelakon, Puteri Sarah Liyana mengucapkan tahniah kepada suaminya yang juga pengarah Syamsul Yusof atas pencapaian filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang mencatat kutipan RM90 juta, semalam. 

Puteri Sarah, 37, berkata, dia melihat kepayahan yang dilalui pasukan filem itu sepanjang menyiapkan filem berkenaan hingga menjadikan ia naskhah paling laris dalam sejarah perfileman tempatan.

"Saya nak ucapkan tahniah kepada Mohd Syamsul dan juga pasukan Mat Kilau kerana saya tahu macam mana proses mereka 'shooting' (penggambaran) dulu.

"Kalau nak ikutkan, saya baru mengandungkan Sumayyah (anak kedua) ketika itu. Jadi, saya ada pergi ke lokasi penggambaran beri sokongan. Saya tahu proses yang dilalui mereka ketika penggambaran termasuk masalah di lokasi dan proses suntingan pun dibuat ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Puteri Sarah berkata demikian ketika ditemui pada majlis memperkenalkan dirinya sebagai wajah produk Inayah Beauty yang berlangsung di sebuah hotel di Petaling Jaya, semalam.

PUTERI Sarah pada majlis Meet & Greet Inayah Beauty. FOTO Rohanis Shukri
PUTERI Sarah pada majlis Meet & Greet Inayah Beauty. FOTO Rohanis Shukri

Dalam pada itu, Puteri Sarah menyifatkan kejayaan diraih itu juga berkat doa dan sokongan orang ramai.

"Berbanyak tahniah kepada semua pelakon, pasukan dan kru yang paling penat sekali. Dan juga kepada pengarah. Alhamdulillah, syukur rezeki dapat RM90 juta sebab ramai yang berdoa. Kepada penerbit iaitu Studio Kembara, tahniah!" katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan mencatat kutipan RM90 juta selepas 33 hari ditayangkan, sekaligus menjadi filem dengan kutipan tertinggi di negara ini, mengatasi Avengers: End Game yang mengutip RM87 juta dan Munafik 2.

Filem itu membariskan pelakon hebat seperti Datuk Adi Putra, Beto Kusyairi, Fattah Amin, Johan As'ari dan ramai lagi.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2022 @ 10:53 AM