Syamsul (tengah) ketika mengarahkan salah satu babak dalam Mat Kilau
Syamsul (tengah) ketika mengarahkan salah satu babak dalam Mat Kilau
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Dalam tempoh tujuh hari tayangan filem Mat Kilau berjaya mencatat kutipan lebih RM23 juta.

Sekali gus menjadikan ia filem epik Melayu pertama yang pecah panggung. Rentetan kejayaan itu, ramai penggiat seni tempatan termasuk dalam kalangan penonton mahukan kesinambungan Mat Kilau.

Pengarahnya Syamsul Yusof berkata, Mat Kilau 2 akan ada sama seperti kebanyakan filem dihasilkan sebelum ini.

"Filem Mat Kilau 2, setakat ini kalau dari bahagian saya sudah semestinya akan ada. Cuma, perkara ini tak boleh gopoh. Dalam berkarya ini tak boleh gopoh. Kalau inginkan sesuatu yang berkualiti kena ambil masa, kajian dan sudah tentu nak tingkatkan dan tambah baik untuk selepas ini.

"Tidak kira sama ada filem Mat Kilau atau apa saja pahlawan dan apa jua filem sekalipun kena perbaiki daripada sebelumnya, insya-Allah," katanya kepada Harian Metro.

Syamsul Yusof
Syamsul Yusof

Ditanya mengenai adakah barisan pelakon utama Mat Kilau dikekalkan, Syamsul berkata ia rahsia.

"Bagi Mat Kilau 2 dan pelakon masih terlalu awal untuk saya komen, nanti dulu. Masih dirahsiakan," katanya ringkas.

Filem Mat Kilau terbitan Studio Kembara menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Johan As'ari, Yayan Ruhan dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2022 @ 1:52 PM