Rozita Che Wan
Rozita Che Wan

Kuala Lumpur: Pelakon, Rozita Che Wan meminta agar mereka yang bergelar peniaga, menjalankan perniagaan dengan jujur dan tidak menjatuhkan orang lain semata-mata untuk menampakkan kehebatan diri.

Menerusi Instagramnya, Rozita yang mesra disapa dengan panggilan Che Ta itu juga menegaskan bahawa rezeki setiap individu itu sudah tertulis.

"Che Ta adalah Che Ta. Tolong jangan bandingkan dengan orang lain. Berniagalah dengan cara yang jujur. Takkan nampak hebat pun kalau kamu mengutuk atau menjatuhkan orang lain," tulisnya.

Tambah Che Ta, rezeki yang dikurniakan Allah kepada hamba-Nya perlu dikongsi dengan orang lain.

"Rezeki Allah sangat luas. Buat apa nak gaduh-gaduh. Buat apa nak sakit hati sesama sendiri. Kamu pun kalau kek yang besar itu, nak makan seorang takkan habis. Mesti kena kongsi dengan orang lain.

"Setiap rezeki kan dah tertulis. Mudah sahaja, kita berniaga sama-sama. Kita dapat rezeki sama-sama. Rezeki untuk dikongsi, bukan untuk dibolot seorang. Semoga Allah permudahkan urusan kita semua," tulisnya.

Che Ta juga menegaskan mengenai tindakannya menjual produk inai dengan harga murah untuk memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk membeli.

"Saya tak ganggu sesiapa. Saya jual inai harga RM15 pun, sebab saya nak semua merasa pakai inai Che Ta.

"Tak kisahlah, kamu jual inai apa. Rezeki Allah SWT kan luas. Percaya itu sahaja, okay."

Hantaran itu juga disambut baik oleh netizen dan rakan-rakan artis antaranya, Fazura.

"Terima kasih Che Ta ingat pada saya dan terima kasih jual murah untuk semua saudara kita," tulisnya dalam ruangan komen disertakan dengan emoji hati.

Terdahulu, ruang media sosial kecoh apabila netizen membandingkan produk inai keluaran Che Ta dengan produk keluaran pelakon dan pengacara, Neelofa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2022 @ 3:54 PM