FIKRY Ibrahim. FOTO IG Fikry
FIKRY Ibrahim. FOTO IG Fikry
Syafil Syazwan Jefri

PELAKON, Fikry Ibrahim teruja menantikan tayangan perdana siri web The Bridge musim kedua yang akan bersiaran bermula jam 9 malam ini di platform penstriman Viu.

Fikry yang memegang watak sebagai Zek berkata, itu adalah karya pertama lakonannya yang bertaraf antarabangsa.

"Saya ambil masa 30 saat saja untuk menyatakan persetujuan berlakon dalam cerita ini. Lagi pula, ini menjadi karya pertama saya yang bertaraf antarabangsa," katanya kepada Harian Metro.

Fikry juga mengakui dia adalah peminat setia siri web berkenaan.

"Saya menonton The Bridge musim pertama dan mengimpikan untuk terbabit sama dalam musim kedua. Tidak menjangka, rezeki menyebelahi saya," katanya.

Ditanya mengenai watak yang dilakonkan itu, Zek adalah karakter seorang anak penjahat yang kaya raya lakonan pelakon hebat, Wan Hanafi Su.

"Karakter saya tak ada banyak aksi kerana saya adalah anak orang kaya dan bapa saya adalah, Datuk Ishak yang juga penjahat dalam siri ini," katanya.

Diarahkan pengarah, TJ Lee, The Bridge musim kedua menggabungkan beberapa pelakon daripada beberapa negara iaitu Bront Palarae dari Malaysia, Rebecca Lim (Singapura), Cheryl Samad (Malaysia), Ario Bayu (Indonesia), Joseph Marco (Filipina) dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2020 @ 4:57 PM