TAYLOR mahu cuba nasib dalam bidang pengarahan.
TAYLOR mahu cuba nasib dalam bidang pengarahan.
Susunan Najiy Jefri

BIARPUN sudah meraih pelbagai kejayaan dalam bidang muzik sebagai penyanyi, namun Taylor Swift mengakui belum cukup puas berada dalam industri seni hiburan.

Taylor berkata, jika diberi peluang dia mahu mengembangkan kerjaya seninya menjadi pengarah.

Kata wanita berusia 33 tahun itu, dia juga selalu berimpian dan bercita-cita untuk menjadi pengarah bagi menghasilkan muzik video muzik pada masa mendatang.

"Saya berminat untuk menjadi pengarah selepas terpaksa mengarahkan sendiri muzik video saya berjudul The Man. Pengarah wanita yang saya mahukan ketika itu sangat sibuk sehingga saya terpaksa mengambil alih tugasnya.

"Saya lebih suka jika muzik video saya diarahkan oleh seorang pengarah wanita, namun kebanyakan mereka terlalu sibuk," katanya.

Selepas mengambil alih tugas sebagai pengarah untuk muzik video pertama arahannya iaitu The Man, Taylor terus menyimpan keinginan untuk mengarahkan muzik video seterusnya.

"Ternyata saya juga mempunyai bakat dan idea untuk menjadi pengarah," katanya.

Dalam pada itu, keberanian Taylor terus bercambah apabila dia mengarahkan filem pendek All Too Well: The Short Film baru-baru ini.

TAYLOR kini bergelar pengarah untuk filem pendek All Too Well: The Short Film.
TAYLOR kini bergelar pengarah untuk filem pendek All Too Well: The Short Film.

Bagaimanapun, dia mendedahkan dia mengalami 'imposter syndrome' sebelum memutuskan berada di posisi pengarah bagi filem pendek itu.

"Saya memiliki 'imposter syndrome' di fikiran yang mengatakan, saya tidak akan melakukan itu, sebaliknya orang lain yang lebih berpendidikan akan melakukan tugas terbabit.

"Namun dalam fikiran saya selalu berkata yang saya sudah lama mengimpikan saat ini dan saya suka mencabar diri melakukan hal baharu. Jadi, saya cuba mencari kekuatan dan akhirnya saya yakinkan diri yang saya benar-benar ingin melakukan perkara ini," katanya.

'Imposter syndrome' adalah perasaan seseorang yang menganggap bahawa prestasi yang dicapainya hanya kebetulan, bukan dari hasil kerja kerasnya sendiri.

Perasaan itu berbentuk ketidakpercayaan lagi pada diri sendiri, sehingga sedar atau tidak, tindakan yang diambilnya boleh membawanya kepada hal-hal yang menghancurkan reputasi.

Mereka yang menghadapi sindrom ini juga bakal berhadapan risiko seperti kebimbangan dan kemurungan memandangkan mereka bergelut dengan konflik dalaman untuk menikmati suatu kejayaan yang sudah mereka capai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2022 @ 6:47 AM