Taylor Swift
Taylor Swift
Agensi

Newark: Gaun pendek berantai 'silver' melengkapkan kejayaan penuh makna penghibur terkenal, Taylor Swift, 32, di MTV Video Music Awards (VMA) 2022, yang berlangsung hari ini.

Terdahulu, Taylor memenangi tiga trofi pada acara hiburan berprestij berkenaan iaitu Video Terbaik, Video Muzik Berdurasi Panjang Terbaik dan Pengarahan Video Muzik Terbaik bagi video muzik All Too Well.

Bagaimanapun, gaun pendek berantai 'silver' digayakannya turut dinobatkan sebagai 'Best Dress' di karpet merah VMA 2022 itu kerana cukup menyerlahkan penampilan Taylor yang dilihat gemerlapan hingga ke kaki.

Tidak hanya itu, menariknya lagi di VMA 2022 kali ini ialah gimik suntingan digital wajah aktor sensasi, Johnny Depp pada angkasawan dikenali sebagai 'Moon Person' yang menjadi maskot acara berlangsung di Prudential Center, New Jersey itu.

Penampilan wajah Depp pada 'Moon Person' yang melayang di udara ketika tirai acara dibuka, cukup menghangatkan penganjuran VMA 2022 yang menyaksikan ramai penyanyi serta bakat baharu diiktiraf.

Memetik laporan portal Page Six, segmen kejutan Depp itu dirakam lebih awal sebelum ditayangkan pada majlis anugerah yang dihoskan LL Cool J, Jack Harlow dan Nicki Minaj.

"Saya perlukan pekerjaan. Saya boleh bekerja untuk mana-mana majlis ulang tahun, keagamaan dan perkahwinan," kata Depp dalam gimik itu.

Anugerah VMA tahun ini juga menyaksikan Nicki menerima penghormatan besar iaitu meraih Anugerah Michael Jackson Video Vanguard termasuk memenangi kategori Video Muzik Hip Hop Terbaik, Do We Have A Problem menampilkan Lil Baby.

Sementara itu, penyanyi Harry Styles meraih trofi Album Terbaik melalui album Harry's House dan trofi Lagu Pop Terbaik bagi single As It Was. Manakala, penyanyi Billie Eilish meraih trofi Lagu Terbaik melalui karya lagu, Happier Than Ever dan band K-Pop terkenal, BTS meraih trofi Kumpulan Terbaik.

Selain itu, kumpulan Red Hot Chili Peppers pula menerima anugerah Ikon Global dan Video Muzik Rock Terbaik menerusi lagu Black Summer.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2022 @ 5:29 PM