BANDI bersama Aru dan Talib.
BANDI bersama Aru dan Talib.
Ridzuan Abdul Rahman


SELAGI hidup dan bernyawa, selagi itulah kita harus berjuang tanpa mengira apa saja halangan yang menanti di depan.

Inilah intipati single terbaru Bandi Amuk berjudul Inilah Perjuangan hasil ciptaan dan lirik sepenuhnya oleh Talib RSE.

Bandi, 55, berkata, lagu terbitan Rockstage Entertainment ini mempunyai erti tersendiri buat masyarakat khususnya dirinya sendiri yang terpaksa meneruskan kelangsungan hidup semasa pandemik Covid-19 selama dua tahun.

"Liriknya memang menyentuh realiti kehidupan yang dilalui ketika itu. Ia berkisarkan perjuangan dalam kehidupan seharian kita.

GAYA tersendiri Bandi menerusi muzik video Inilah Perjuangan.
GAYA tersendiri Bandi menerusi muzik video Inilah Perjuangan.

"

Walau apa saja dugaan, ujian dan cabaran, lagu ini mengajak kita agar jangan menyerah kalah dengan duduk berdiam diri dan terus bangkit sehingga kita berjaya.

"Lagu ini dicipta dan dirakamkan pada era pendemik Covid-19 iaitu pada Oktober 2020. Sekarang adalah waktu yang sesuai untuk kami mengeluarkan single ini buat peminat," katanya.

Sepanjang tempoh pandemik lalu, Bandi atau nama sebenarnya Nasabandi Jumat yang menetap di Johor Bahru, membantu memasarkan perniagaan karipap sejuk beku dan lasagna hasil air tangan isterinya, Faridah Haroun.

"Syukurlah hasil air tangan isteri saya dapat sambutan menggalakkan daripada pembeli. Tak sangka usaha yang dilakukan kami berhasil.

"Kerana ada permintaan, perniagaan ini masih diteruskan walaupun saya kembali sibuk dengan tawaran persembahan.

"Syukur... industri seni kembali rancak dan saya mula didatangi tawaran menyanyi dipelbagai lokasi sama ada di sekitar Johor serta seluruh negara," katanya.

Menariknya lagu berentak keras ini turut menampilkan Aru Koffin Kanser sebagai rakan duet Bandi.

"Jelas Talib, pemilihan kami berdua adalah kerana karakter kami yang sinonim dengan irama keras serta sangat sesuai dengan lagu ini.

"Kalau diikutkan memang sakit apabila kita gagal tapi sekiranya kita gigih dan sabar, di hujung perjuangan nanti ada kejayaan yang menanti. Saya berbangga dapat menyanyikan lagu ini.

"Saya seronok bekerja dengan barisan pemuzik hebat iaitu CD Naz, Jemboo Def Gab C (pemain gitar), Hashim Sil Khannaz (bass) dan Fareez Metalasia (dram)," katanya yang pernah terbabit dalam konsert Rockstage 1 & 5 sebelum ini.

Penyanyi yang pernah menyertai pertandingan Gegar Vaganza 8 ini berkata muzik video rasmi Inilah Perjuangan kini boleh ditonton menerusi saluran YouTube Rockstage Entertainment.

Peminat boleh mendapatkan single ini menerusi platform digital seperti Spotify, Jook, Deezer, Shazam dan Kkbox.

"Kami berharap agar lagu yang positif ini mendapat tempat di hati peminat di luar sana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2022 @ 6:15 AM