ANGGOTA FTG (dari kiri) Jac, Mie, Tajul dan Zam bersedia untuk menggegarkan Tawau.
ANGGOTA FTG (dari kiri) Jac, Mie, Tajul dan Zam bersedia untuk menggegarkan Tawau.
Ridzuan Abdul Rahman


Strategi penganjur Rockstage Entertainment menggandingkan dua kumpulan otai, FTG dan XPDC dalam konsert Rockstage II di Stadium Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), Kuala Lumpur pada Oktober tahun lalu ternyata menjadi apabila persembahan ditonton hampir 2,000 peminat.

Rentetan kejayaan itu, pentas Rockstage diteruskan lagi dan kini ia merentasi Laut China Selatan apabila bakal berlangsung di Dewan Sukan Tertutup, Tawau, Sabah pada 3 Mac depan.

Wakil penganjur, Talib Othman berkata, Konsert Rockstage III yang diadakan dengan kerjasama Neolithic Entertainment menampilkan FTG dan Metalasia. Pihaknya menggunakan tema Tirai Perang Borneo bagi menarik penonton.

“Ini memang menjadi ‘trademark’ kami kerana Rockstage I tampil dengan tema Malaysian Legendary Metal, manakala Rockstage II dengan tema Sounds Of War dan kali ini tema sedemikian digunakan kerana ia berlangsung di Sabah.

“FTG sebenarnya tak pernah beraksi di Sabah meskipun kerap kali diajak peminat dan ini julung kali mereka tampil di sana.

“Seorang anggota Metalasia iaitu Wan pula berasal dari Tawau dan pernah bawa kumpulan ini beraksi di sana pada 2007. Jarak masanya agak lama dan peminat tentu menanti kehadiran mereka kali ini,” katanya.

Talib mengakui syarikatnya masih dalam proses belajar dan konsert ini dilakukan dalam skala kecil memadai jika pulang modal.

“Sasaran kami pun bukanlah tinggi sangat. Namun, bagi memastikan kelancaran konsert, saya bawa 11 kru yang akan mengiringi 10 ahli kedua-dua kumpulan dan dua jurutera bunyi berpengalaman.

“Saya gembira kerana ada juga peminat dari Semenanjung yang sanggup bayar mahal untuk menonton konsert ini. Mereka memang peminat muzik rock sejati,” katanya yang mahu memartabatkan genre rock.

Bagi anggota FTG iaitu Tajul (penyanyi), Jac (gitar), Nizam (dram) dan Mie (bass), mereka melakukan persediaan rapi antaranya latihan intensif agar persembahan bakal meninggalkan impak besar buat peminat.

“FTG bukanlah tiada tawaran langsung sebelum ini tetapi kami ragu-ragu terima tawaran ketika itu kerana latar belakang penganjur kurang meyakinkan.

“Terima kasih Rockstage Entertainment kerana sudi bawa kami ke sana selepas 30 tahun FTG ditubuhkan. Biarlah lambat beraksi di sana asalkan persembahan kami mencatat kenangan manis kepada pengikut setia,” kata Tajul.

Tajul berkata, FTG mencatat sejarah tersendiri kerana menjadi kumpulan thrash metal pertama negara yang lahir tahun 1990-an sebelum diikuti kumpulan lain.

“Konsep muzik yang ditampilkan menyamai kumpulan Slayer dan Testament dari Barat. Mungkin generasi sekarang tak kenal FTG tapi kami ada kelompok peminat tersendiri.

“Kami sudah merakamkan 11 album studio, dua album cover version dan dua album kompilasi. Lagu Melayu kami ialah Aku Tak Peduli dan Malaysia Maju,” katanya yang akan menyampaikan dua lagu daripada setiap album buat peminat.

Tiket untuk menyaksikan konsert ini berharga RM35 dan boleh didapati di kaunter jualan Dewan Sukan Tertutup, Tawau pada hari persembahan.

Keterangan lanjut mengenai konsert ini boleh didapati menerusi Facebook Rockstage Entertainment.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2018 @ 4:17 AM