AHLI Viper muncul dengan nama Copero Viper selepas 17 tahun menyepi.
AHLI Viper muncul dengan nama Copero Viper selepas 17 tahun menyepi.
Ridzuan Abdul Rahman

Selama 17 tahun menyepikan diri, kumpulan Viper akhirnya tampil dengan buah tangan terbaru iaitu album berjudul Wali Pendekar buat peminat mereka.

Bagaimanapun kelainan dilakukan oleh Zuar selaku penyanyi dan pemain bass apabila memilih nama baharu, Copero Viper selain mengambil pemain gitar baru iaitu Wan bagi menggantikan tempat Ulai.

"Kami kembali kerana Viper ada peminat. Album kami berjudul Evolusi yang memuatkan lagu Nekad berjaya dijual sebanyak 20,000 unit.

"Peminat pula asyik tanya bila nak keluar album baru, tapi ketika itu saya terikat dengan kumpulan XPDC.

"Menyedari ada peminat baru dan pembeli serta tawaran daripada Rockstage Entertainment, saya nekad untuk tampil dengan album ini," katanya.

Menurutnya menerusi Wali Pendekar, dia dapat mengeluarkan ideanya yang lama disimpan.

"Ketika bersama Copero pula, saya perkara hasilkan album Inggeris yang dijual secara underground. Manakala Viper pula album Melayu dibawah syarikat rakaman NSR.

"Jadi, sekarang saya menggabungkan dua nama kumpulan ini untuk mewujudkan band baru dikenali Copero Viper dan tiada mana-mana pihak boleh 'claim' kami gunakan nama tanpa izin.

"Muzik Copero dan Viper juga digabungkan dalam album ini. Judul Wali Pendekar adalah nama unik bagi kami sempena mengambil nama pahlawan sejarah Melayu. Saya minat sejarah dan terbawa-bawa dalam album ini," katanya.

Zuar mengakui ada kelainan dilakukannya tetapi tidak keterlaluan kerana bimbang dikritik peminat.

BARISAN ahli kumpulan Copero Viper yang ditubuhkan untuk mengubat rindu peminat VIPER.
BARISAN ahli kumpulan Copero Viper yang ditubuhkan untuk mengubat rindu peminat VIPER.

"Dulu saya suntik elemen moden dalam lagu Nekad dan dikritik teruk sedangkan ia dah dibuat di Barat. Tapi, lama-kelamaan KRU pun ikut cara ini.

"Untuk kali ini, saya masukkan pelbagai elemen muzik dalam album Wali Pendekar seperti rock kapak dan moden. Tapi, asas utamanya adalah rock.

"Orang kita susah nak terima pembaharuan yang drastik. Lagu-lagu dalam album ini juga sebenarnya sudah lama dicipta, tapi saya buat pembaharuan," katanya.

Menurut Zuar, suaranya juga masih 'husky' tetapi lontaran vokal lebih baik berbanding dulu hasil didikan penerbit eksekutif dan pemilik Rockstage Entertainment, Talib Othman.

"Ia adalah identiti saya. Malah, asas lagu juga adalah ciptaan saya. Namun, anggota lain iaitu Lee (gitar), Wan (gitar) dan Amy (drum) mewarnakannya agar lebih cantik.

"Apapun, saya harap peminat boleh terima kehadiran semula kami dalam industri muzik ini sebagai Copero Viper," katanya.

Talib pula berkata, album ini mempunyai kelainan tersendiri, terutama dari segi bunyinya yang lebih berat.

"Saya pasti peminat mereka akan menyukai album ini. Ia mengandungi enam lagu dan turut dikeluarkan dalam versi Digipack agar tidak mudah rosak.

"Bagaimanapun, tempahan yang diterima setakat ini amat menggalakkan. Selain dijual secara online, ia turut dijual di beberapa kedai CD di Kompleks Campbell, Kuala Lumpur," katanya.

Selain itu, yang pasti Talib kagum dan menghormati perjuangan muzik yang kini cuba diketengahkan oleh Copero Viper. Katanya, dia melihat ada potensi dan semestinya wajar diberi ruang dan peluang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 6:33 AM