Fattah Amin
Fattah Amin
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pasangan selebriti popular, Fattah Amin dan Nur Fazura kini lebih selesa mendengar lagu-lagu berkonsepkan kerohanian dan ketuhanan.

Fattah berkata, genre muzik sebegitu semakin mendapat tempat di hati mereka berdua.

"Kami memang selalu 'layan' lagu-lagu begini sekarang. Contohnya kalau kami dalam kereta menuju ke mana-mana destinasi, memang lagu-lagu begini menjadi pilihan.

"Jiwa kami sekarang sangat tertarik dengan lagu dengan konsep kerohanian sebegini. Dalam senarai lagu isteri saya pun kebanyakannya lagu sebegini," katanya.

Menurut Fattah, lagu kerohanian umpama satu terapi buat jiwanya yang sentiasa dahagakan ketenangan.

"Lagu-lagu ini umpama satu terapi untuk ketenangan di samping menjadi bahan halwa telinga. Antara yang menarik perhatian saya adalah, lagu-lagu daripada penyanyi Indonesia, Opick, Dewa 19 dan kalau dari Malaysia, ada lagu nyanyian Lah Ahmad," katanya.

Terbaharu, Fattah kini muncul dengan single berjudul Pada-Mu hasil ciptaan komposer dan penulis lirik, Ikhwan Fatana dan Wan Salleh.

"Lagu ini berkisar mengenai hamba Allah yang sentiasa percaya kepada Sang Pencipta. Dalam kata lain, walau sejauh mana pun seseorang manusia itu mengecapi kejayaan, kita akan sentiasa ada rasa kesyukuran atas nikmat daripada-Nya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2022 @ 4:44 PM