MAHU lebarkan sayap dalam pelbagai aktiviti seni,perbaiki lakonan dengan mempelbagaikan watak.
MAHU lebarkan sayap dalam pelbagai aktiviti seni,perbaiki lakonan dengan mempelbagaikan watak.
Syafil Syazwan Jefri


JIKA dilihat dari sudut transisi karier seni figura bernama Fattah Amin ini, tentunya ada pelbagai pencapaian yang sudah dicapainya dalam industri seni tanah air.

Bermula daripada pertandingan pencarian bakat peragaan, bakatnya mula digilap dalam bidang lakonan, seterusnya dia memberanikan diri untuk mencuba nasib dalam bidang nyanyian.

Pernah dilabel sebagai 'pelakon kayu' kerana lakonannya yang dilihat sebagai kaku ketika awal pembabitannya, itu tidak pernah mematahkan semangat anak seni berusia 31 tahun ini untuk terus mengorak langkah dan belajar.

"Saya suka meneroka dalam pencarian watak untuk saya lakonkan. Saya gemar mencuba pelbagai watak dan watak kegemaran saya adalah watak aksi," katanya berkongsi mengenai transisi lakonannya.

Menurut Fattah, dia sedaya upaya cuba untuk tidak membawakan watak sama dalam karya lakonannya bagi membuktikan bahawa dia mampu menjadi pelakon versatil.

"Saya agak memilih dalam menerima tawaran buat masa sekarang sebab saya tak mahu membawa watak sama. Bagi saya, kualiti lebih penting berbanding kuantiti," katanya.

Antara karya terbaharu yang mempersembahkan namanya dan menjadi bualan sejak akhir-akhir ini adalah, filem Mat Kilau.

"Dalam filem Mat Kilau, saya memegang watak sebagai Awang. Sejujurnya, Mat Kilau adalah naskhah yang memberi impak kepada nama dan karier saya sebagai pelakon.

"Ketika menjalani penggambaran untuk filem ini, kami berdepan dengan pelbagai ujian, ketegangan serta dugaan antaranya, babak yang mencabar di samping faktor cuaca.

"Di situ, saya mengadaptasikan lakonan saya dengan pelakon lain yang menurut saya, adalah pelakon hebat," katanya.

FATTAH bawa watak Awang dalam filem Mat Kilau.
FATTAH bawa watak Awang dalam filem Mat Kilau.

Terbaharu, Fattah muncul dengan single baharu berjudul Padamu hasil ciptaan komposer dan penulis lirik, Ikhwan Fatana dan Wan Salleh.

"Lagu Padamu ini berkisar mengenai manusia sebagai hamba dengan Allah, Sang Pencipta. Ada ketikanya manusia itu jatuh, bangkit semula, berdepan kesedihan serta kesusahan.

"Tapi, itu tidak pernah membuatkan kita lupa untuk terus mengingati Alah yang sentiasa ada memberikan perlindungan, memimpin dan melindungi kita. Ini perasaan yang ingin saya kongsikan menerusi lagu ini," katanya.

Berkongsi mengenai kesyukuran, Fattah berkongsi mengenai pelbagai nikmat yang diberikan Allah kepadanya.

"Saya bersyukur atas nikmat yang saya kecapi hari ini. Tak dapat saya nak ungkapkannya dengan kata-kata. Jadi, saya rasa, kalau dikongsikan dalam bentuk lagi, ia juga akan boleh turut dirasai oleh orang lain.

"Bagi saya, lagu adalah medium penyampaian mesej yang lebih mudah untuk diterima dan difahami oleh pendengar," katanya.

Padamu bukanlah karya pertama berkonsepkan kerohanian dan ketuhanan kerana sebelum ini, dia pernah muncul dengan lagu berjudul Kiriman Agung dan Sinar Selawat.

"Saya dah mula jatuh cinta dengan lagu kerohanian sebegini kerana ia sesuai dengan diri saya, dan juga suara saya. Saya rasa, ini adalah genre paling sesuai untuk saya.

"Saya dan isteri pun memang 'layan' lagu-lagu bergenre ini sejak kebelakangan ini kerana ia umpama memberikan ketenangan jiwa," katanya.

Walaupun nyanyian mula menjadi cabang serius buatnya, namun, ia akan terus bergerak seiring dengan kerjaya lakonannya.

"Selagi ada daya, saya akan terus berlakon. Selagi ada peminat yang mahu melihat saya beraksi sebagai pelakon, saya akan terus berlakon," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2022 @ 6:00 AM