ANAS Tahir
ANAS Tahir

Kuala Lumpur: Penyampai radio dan adik kepada penyanyi popular, Faizal Tahir iaitu Anas Tahir kecewa dengan sikap segelintir pihak yang suka membandingkan dia dengan abangnya hingga membuatkan kehadirannya seolah-olah tidak dihargai.

Anas menerusi video di TikTok mendedahkan situasi yang kerap dihadapi di mana dia hanya pilihan kedua sekiranya Faizal tidak dapat memenuhi jemputan mereka.

"Dah sampai masa saya nak cakap pada semua orang. Saya datang dan hadirkan diri ke majlis, tapi cukuplah bila nampak saya dan nak tangkap gambar, tapi mereka cakap, Faizal tak datang? Tak ada Faizal pun tak apalah, adik dia pun jadilah. Kasihan tak? Kalau anda? Kasihan tau.

"Ini mungkin bukan isu besar bagi orang, tapi bagi saya macam sudah berbelas tahun perasaan ini rasa kasihannya pada diri sendiri. Selalu fikirkan orang, tapi orang tak fikirkan saya," katanya.

Anas berkata, kadang-kadang ada yang menghubunginya meminta dia bertanyakan kepada Faizal sama ada abangnya itu boleh membuat persembahan di tempat tertentu.

"Saya cakaplah kena hubungi dia sendiri, pengurusan, pengurus atau pembantu peribadi. Katalah mereka dah bagi harga, nanti mereka hubungi saya semula dan cakap, mahallah harga abang awak. Lepas tu saya cakap nak buat macam mana. Apa sebab panggil Faizal? Fasal 'crowd' (penonton) kan? Sebab 'crowd' Faizal memang banyak. Nak gunakan orang tu dengan 'crowd' begitu kena bayar mahal. Nak bayar murah panggil saya, saya cakap macam tu saja. Tak nak pula," katanya.

Anas berkata, apabila Faizal tidak dapat memenuhi jemputan, mereka meminta dia yang datang dan dia tidak ada masalah.

Bagaimanapun, Anas kecewa apabila dia hadir, penganjur pula dalam ucapannya di majlis berkenaan memaklumkan kepada penonton yang mereka sebenarnya mengharapkan Faizal, tetapi kerana Faizal tidak dapat hadir mereka terpaksa menerima kehadiran Anas.

"Saya cuba nak jaga hati dengan hadir walaupun pada asalnya nak jemput Faizal. Nak tolong supaya tak cakap abang saya sombong semua, saya datang juga. Tapi janganlah keluarkan kata-kata macam tu. Saya kecil hati. Saya cuba jaga hati penganjur, tapi mereka tak

"Janganlah sebut dapat adik dia pun jadilah. Macamlah saya ni apa sangat, 'lekeh' sangat. Kalau saya tak datang kata sombong, saya cuba datang. Cuba kalau benda ini jadi pada anda sendiri, apa rasa?" katanya.

Dalam masa sama, Anas menjelaskan, hubungannya dengan Faizal adalah baik.

"Kalau anda berkawan dengan saya semata-mata nak dapakan 'tiket' dekat dengan Faizal, lupakanlah. Bukan apa, kadang-kadang hubungan kita baik dengan adik-beradik kita, tapi disebabkan mulut orang macam inilah menyebabkan hubungan kita dengan adik-beradik renggang. Padahal kami okay saja. Saya dengan abang saya baik saja. Tolonglah buang mentaliti begitu.

"Nak jemput Faizal, Faizal tak dapat datang, 'mention' adik dapat datang pun jadilah. Suruh nyanyi lagu Faizal. Lepas tu, dah habis nyanyi boleh cakap, suara tak macam Faizal, suara Faizal lagi sedap. Astaghfirullah. Apa masalah anda?" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2022 @ 12:29 PM