Daiyan Trisha
Daiyan Trisha
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Dua kali berpeluang mengerjakan umrah, penyanyi dan pelakon Daiyan Trisha, 29, belum membayangkan untuk pergi menunaikan ibadah haji yang menjadi perkara kelima dalam Rukun Islam.

Menurutnya, ia kerana pergi haji menuntut sesuatu lebih besar yang belum mampu dilakukannya buat masa ini.

"Haji belum lagi. Saya tak tahu, kerana saya rasa kalau buat haji balik kena betul-betul (sempurna). Sebab saya masih dalam industri begini. Kalau nak dikatakan peluang datang tiba-tiba, itu saya tak tahu nak jawab sekarang.

"Saya sendiri pun tak tahu saya bersedia atau tak. Tiada plan (pergi haji) buat masa ini. Namun kalau jadi, jadilah. Tiada istilah 'fast track' untuk saya pergi haji (jika tiba masa).

"Keluarga saya biasa sahaja. Kami menyimpan dalam Tabung Haji seperti biasa. Semua ibu bapa yang uruskan," katanya ditemui pada sidang media filem Sumpahan Jerunei baru-baru ini.

Anak kedua daripada lima beradik ini menafikan hidupnya 'high maintenance' seperti sangkaan ramai orang.

"Keluarga saya biasa sahaja. Adik beradik lain bekerja dalam bidang profesional. Kakak saya doktor, adik arkitek, jurutera dan ada yang masih belajar dalam bidang kejuruteraan.

"Cuma saya yang tiba-tiba jadi kaya. Alhamdulillah... rezeki. Takkan nak cakap saya tak kaya. Memang orang dah nampak gaya hidup saya sebab saya pun kerja dengan banyak jenama antarabangsa.

"Syukur ada rezeki saya beli rumah, kereta dan sebagainya," katanya yang juga model peragaan pakaian jenama terkenal.

Daiyan tidak menafikan segala kelebihan yang ada padanya mungkin membuatkan lelaki takut mendekatinya.

Namun dia tidak berbohong, pada usia sekarang sedang mencari jodoh.

"Kalau jumpa yang sesuai insya Allah ada jodoh saya kahwin. Dulu mungkin saya belum sedia. Sekarang kalau dah kenal setahun dua kalau rasa sesuai okeylah.

"Tapi takkan tiga bulan kenal dah nak kahwin. Kalau jodoh sampai insya Allah saya tak tolak," katanya yang digosipkan bercinta dengan Nadhir Nasar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2023 @ 1:08 PM