Anas Salmee (berdiri dua dari kanan) bersama anak-anak dan Allahyarham Amran Tompel.
Anas Salmee (berdiri dua dari kanan) bersama anak-anak dan Allahyarham Amran Tompel.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Sepanjang abang (Allahyarham Amran Aman Ramli) sakit dia tak pernah cakap mengenai kematian.

"Dia selalu cakap keinginan nak ke Kuala Lumpur jumpa adik beradik, pergi makan dengan anak-anak dan balik jumpa mak saya. Semangat dia kuat."

Demikian kata bekas isteri pelakon dan pelawak, Allahyarham Amran Aman Ramli atau Amran Tompel iaitu Anas Salmee Syed Mohammad, 54, mengenai arwah sebelum disahkan meninggal dunia, semalam.

Anas Salmee berkata, dia mengurus dan menjaga arwah sejak terlantar akibat strok bermula Mac 2020 sehingga menghembuskan nafas terakhir.

Malah, menurut Anas Salmee hubungannya dengan bekas suami juga masih baik biarpun selepas bercerai pada Mei 2015.

"Saya menjaga dia dari Mac 2020 iaitu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 hingga dia meninggal. Semalam, saya di rumah dan tengah masak. Selepas saya bersihkan, tukar lampin pakai buang, alas, selimut dan beri dia minum pada jam 2.36 petang, saya masak.

"Kemudian, saya nak makan dengan anak. Sebelum itu, nak tengok dia dulu yang berada di ruang tamu. Ketika itu dia sudah tak bergerak. Saya panggil anak suruh tengokkan dan cakap ayah sudah tiada. Masa tu jam 4.40 petang," katanya kepada Harian Metro.

Anas Salmee menjelaskan, kematian bekas suaminya disebabkan sakit tua dan bukan akibat kanser usus atau Covid-19.

"Dia meninggal dunia sama sekali tiada Covid-19 dan bukan dalam kuarantin. Dia negatif dan tidak ada sesak nafas pun. Saya yang jaga dia 24 jam.

"Cuma seminggu lebih sebelum meninggal , dia tiada selera makan, tak respons cakap orang dan sentuh badan pun dia rasa sakit. Malah, sebelum itu juga dia ada cakap nak pergi cari makan yang sedap-sedap. Tapi, saya cakap tak boleh sebab kes Covid-19 tinggi dan boleh beli serta bawa balik rumah.

"Sepanjang dia sakit, kaki bengkok sebab angin ahmar. Tapi apabila meninggal kaki lurus dan pengurusan jenazah pun senang," katanya.

Anas Salmee berkata, arwah mula diserang angin ahmar kali pertama pada Mei 2015, kedua pada 2016 dan ketiga pada Mac 2020 hingga terlantar.

Terdahulu, Amran Tompel disahkan meninggal dunia di rumahnya di Taman Matahari Height, Senawang, Negeri Sembilan, pada petang semalam.

Jenazah selamat dikebumikan pada jam 9.20 malam di Tanah Perkuburan Islam Forest Height, Senawang, Negeri Sembilan.

Hasil perkahwinan bersama, mereka dikurniakan empat cahaya mata Suhaila Amran, 29, Shafiq Amran, 28, Suhairie Amran, 24, dan Suhaili Amran, 22.

Sebelumnya, Amran Tompel pernah berkahwin dua kali namun tidak dikurniakan anak.

Arwah adalah anak kepada pelakon, pelawak serta pengarah, Allahyarham AR Tompel, dan aktif dalam industri hiburan tanah air sekitar 1990-an.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2022 @ 7:02 PM