Emy (dua dari kanan) bersama Raissuddin, Mak Der dan anak sulung arwah, Uwais Alqarni.
Emy (dua dari kanan) bersama Raissuddin, Mak Der dan anak sulung arwah, Uwais Alqarni.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Bersempena ulang tahun kelahirannya yang ke-66, bapa kepada penyanyi Allahyarham Siti Sarah, Raissuddin Hamzah dikejutkan dengan kehadiran 'kembar Siti Sarah' yang hadir membawa kek.

Kejutan itu dirancang isterinya, Siti Fatimah Suberi, 35, atau mesra disapa dengan panggilan Mak Der.

Dalam video dimuat naik di Instagram Mak Der itu, wanita mirip Siti Sarah dikenali sebagai Emy itu hadir dengan membawa kek hari jadi sebagai kejutan buat Raissuddin.

Menurut Mak Der, dia mula sedar kewujudan Emy ketika gambar wanita itu tular di media sosial sekitar Ogos tahun lalu, namun tidak berkesempatan untuk bertemu.

"Semasa mula-mula orang kata muka dia sama dgn arwah, suami ada beritahu teringin sangat nak jumpa dengan Emy ini. Nak bawa jumpa tapi masih belum berkesempatan di atas faktor masing-masing sibuk," tulisnya.

Mak Der turut mengucapkan terima kasih kepada Emy kerana sudi memenuhi undangannya.

"Terima kasih kepada keluarga dan rakan-rakan yang hadir untuk meraikan hari lahir abah (Raissuddin). Terima kasih juga untuk Emy dan keluarga yang sudi terima pelawaan kami," tulisnya.

Dalam video itu, Raissuddin kelihatan terkejut melihat wajah Emy yang mirip anaknya yang meninggal dunia pada 9 Ogos tahun lalu itu.

Turut dipaparkan Raissuddin menunjukkan gambar lama yang disimpan dalam telefonnya kepada Emy. \

Di Facebook Emy, wanita itu berkongsi mengenai layanan baik keluarga Raissuddin yang diberikan kepadanya sekeluarga.

"Berapa kali nak berjumpa tak ada rezeki. Kali ini, Allah permudahkan semuanya. Terima kasih puan, jemput saya, suami dan anak-anak. Keluarga arwah baik-baik semuanya. Tak sombong, sama macam arwah," tulisnya.

Emy juga turut memuat naik gambar kenangan bersama keluarga Raissuddin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2022 @ 11:31 AM