Mawi bersama Ustaz Kazim.
Mawi bersama Ustaz Kazim.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Ustaz Kazim (Datuk Mohd Kazim Elias) tengah tak sihat. Ini bukan gimik. Saya tengok sendiri kulit ustaz, tiba-tiba keluar darah. Mana datang darah pun tak tahu," kata penyanyi dan pengarah filem Zim Zim Ala Kazim, Mawi mengenai keadaan kesihatan pendakwah dan penceramah bebas itu.

Mawi, 41, atau nama sebenarnya Asmawi Ani ketika dihubungi berkata, Ustaz Kazim sudah mengadu sakit sehari sebelum mereka memulakan penggambaran lagi sejak awal bulan ini.

Malah, Mawi berharap Ustaz Kazim yang melakonkan watak utama dapat bertahan hingga tamat penggambaran yang berbaki 10 hari saja lagi.

"Sehari sebelum penggambaran saya ada berjumpa dengan ustaz. Dia tunjuk kulit, muka kaki dan tangan naik bitnik-bintik. Jadi dia cakap, dia kurang yakin nak 'shooting'. Perkara itu macam nak bagi malu pada dia. Saya tengok pun terkejut. Tapi dia kuatkan semangat dan komitmen 100 peratus.

"Ustaz cakap 'benda' ini datang setiap kali dia nak mulakan penggambaran atau muncul di kaca TV. Seolah-olah 'benda' itu tahu saja setiap kali ustaz nak kerja. Dalam filem ini ustaz melakonkan watak utama. Insya-Allah ada lagi 10 hari nak habiskan penggambaran. 

Harap dia masih boleh bertahan. Hujung hujung ni memang fokus babak ustaz saja," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Mawi, dia tabik dengan semangat Ustaz Kazim yang melawan sakit dialami sepanjang penggambaran dijalankan.

"Saya 'respect' dia. Dia lawan benda ini. Dia bukan sakit kulit saja, tapi satu badan. Dia juga berasa miang badan, tak boleh nak tidur, rasa gelisah. Itu yang dia cakap. Tapi serah pada Allah. 

"Kalau dia datang lokasi, boleh nampak dia lemah. Jadi, setiap kali kita 'set up' kamera, saya minta dia rehat dalam kereta dulu. Kalau sudah sedia baru panggil. Ini adalah pertama kali dia betul betul berlakon dan bawa watak utama pula. Kiranya, cabaran untuk dia dan saya sebagai pengarah. Tapi diia tetap 'steady'," katanya.

Dalam masa sama, Mawi berkata dia sehabis baik memastikan penampilan Ustaz Kazim di skrin dalam keadaan baik.

"Dalam skrin, setakat ini  memang jaga betul-betul dari segi 'look' dan penampilan. Apabila ada babak tak sihat, ia tak perlu dibuat-buat. Sebab dia memang tak sihat. Cuma babak sihat itu, kena gagahkan diri dan tunjukkan sihat. 

"Bukan senang, apatah lagi ada babak berat dan kena menyanyi. Sebab filem ini ala muzikal. Jadi, untuk keadaan kesihatan ustaz sekarang ia berat. Sebab kena banyak bergerak dan penggambaran tengah panas.

"Babak lain pun macam kena gangguan jin, ia berat sebab perlukan emosi. Dia pun tak biasa 'shooting' dan kerja berat. Setakat ini kalau 'call time' pagi sebolehnya habis sebelum tengah malam. Cuma pernah sekali 'call time' jam 8 malam habis jam 8 pagi," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2022 @ 9:56 AM