NORMAH (kiri) dan Aripah.
NORMAH (kiri) dan Aripah.
Norhayati Nordin

Petaling Jaya: Pelakon Normah Damanhuri, 68, tidak putus berdoa untuk kakaknya yang juga pelakon Aripah Damanhuri, 73, yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak 25 April lalu.

Normah ketika ditemui berkata, keadaan kesihatan kakaknya itu boleh dikatakan sangat membimbangkan, namun dia tidak putus berdoa kepada Allah agar Aripah diberikan kesembuhan dan kembali sihat semula.

"Keadaan dia sangat membimbangkan juga dan saya memang tak berhenti berdoa. Minta kepada Allah, semoga dia panjang umur. Ini satu keajaibanlah. Kalau tengok, memang teruk. 

"Semalam (kelmarin) saya pergi ke hospital dan dapat masuk seorang demi seorang secara bergilir. Saya panggil dan dia buka mata. Dia sedar, bila saya cakap dengan dia. Adalah dia respon dengan buka mata sedikit dan gerakkan tangan," katanya kepada Harian Metro

Pelakon berkaliber yang akan muncul dengan filem 3 Janda Melawan Dunia bersama Khatijah Tan dan Raja Azura di pawagam tidak lama lagi itu berkata, dia tetap berharap supaya kakaknya itu kembali sembuh seperti sedia kala.

"Saya tetap berharap dia akan sihat, akan sembuh. Insya-Allah, itu semua kuasa Allah. Apapun, ia menjadi harapan saya juga anak-anaknya. Tak ada daya melainkan kita hanya menunggu dan terus berdoa. 

"Saya pun baru dapat melawat dia sekarang apabila sejak Isnin lalu doktor memberi kebenaran ahli keluarga dah boleh melawat pesakit di hospital. Kalau tidak sebelum ini, tidak boleh lawat langsung," katanya ditemui selepas pratonton filem 3 Janda Melawan Dunia, di sini, semalam. 

Normah berkata, selama kakaknya dimasukkan dan menerima rawatan lanjut di hospital, apa saja perkembangan kesihatan Aripah diketahuinya menerusi perkongsian terkini dari semasa ke semasa oleh anak saudara.

Terdahulu, Harian Metro ada melaporkan Aripah dimasukkan ke HKL pada tengah malam 22 April lalu selepas paras oksigen menurun dan terpaksa ditidurkan.

Bagaimanapun, pada 26 April lalu, keadaan kesihatan Aripah yang dimaklumkan oleh anaknya, Fais Nurpais Ismail sudah menunjukkan sedikit tindak balas positif sejak dimasukkan ke HKL untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Difahamkan juga, Aripah yang tiada sebarang penyakit sebelum ini diberitahu mengalami jangkitan kuman dalam darah dan sudah merebak sehingga mengganggu fungsi organ tertentu dalam badannya termasuk di bahagian buah pinggang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2022 @ 10:04 AM