Aripah Damanhuri dipindahkan ke wad biasa
Aripah Damanhuri dipindahkan ke wad biasa
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon veteran Aripah Damanhuri, 73, yang dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), Jumaat lalu sudah dipindahkan ke wad biasa hari ini.

Bagaimanapun Aripah masih bergantung kepada alat bantuan pernafasan serta ubat untuk terus hidup.

Anaknya Nurpais Ismail ketika dihubungi berkata, dia berharap ibunya tabah dan kuat melawan ujian kesakitan yang dihadapi.

"Setakat jam 10.30 pagi tadi, mak sudah dipindahkan ke wad biasa namun masih bergantung kepada bantuan pernafasan.

"Mak juga bergantung sepenuhnya kepada ubat-ubatan yang diberikan. Namun jika ubat ini habis, kami adik-beradik berdoa agar mak kuat untuk terus hidup.

"Doktor maklumkan keadaan mak dah sangat kritikal, dan sebarang ubatan tambahan yang diberikan berpotensi menghentikan jantung dia bila-bila masa.

"Andai umur mak tak panjang biarlah mak pergi dengan semula jadi dan tenang," katanya.

Menurut Nurpais atau mesra disapa Boy, dia serta tiga beradik lain reda jika umur ibunya tidak panjang.

"Kami tahu mak dah lama bersedia untuk pergi. Jadi kami pun kenalah bersedia untuk lepaskan mak.

"Mungkin Allah dah tetapkan bahagian mak di dunia setakat ini sahaja. Biarlah mak pergi dengan aman jika benar inilah waktunya.

"Walaupun kehilangan adalah sesuatu yang sukar untuk diterima tapi kami perlu reda dan kuat untuk menempuh apa saja kemungkinan yang bakal berlaku," katanya.

Sementara itu, Boy memaklumkan segala urusan berkaitan pengurusan jenazah sudah diselesaikan.

"Sekiranya mak ditakdirkan pergi… saya sudah bersedia. Harapannya, khidmat mereka tidak diperlukan tetapi sekadar bersedia agar urusan perpindahan mak ke alam yang abadi berjalan lancar dan teratur.

"Insya-Allah urusannya dibuat di Gombak nanti. Mak kuat dan tahu ramai yang sayangkan dia," katanya.

Terdahulu Aripah yang juga kakak kepada pelakon Normah Damanhuri dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) Jumaat lalu selepas paras oksigen menurun dan terpaksa ditidurkan.

Difahamkan Aripah mengalami jangkitan kuman dalam darah dan menyerang di bahagian buah pinggangnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2022 @ 1:49 PM