Aripah Damanhuri
Aripah Damanhuri
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Selepas menunjukkan sedikit tindak balas positif, pelakon veteran Aripah Damanhuri, 73, kini dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) dari wad biasa bagi pemantauan lanjut kesihatannya oleh doktor.

Anaknya, Fais Nurpais Ismail dihubungi berkata, dia bersyukur apabila doktor memaklumkan perkembangan ibunya yang sudah menunjukkan sedikit tindak balas sekali gus ada 'improvement' berbanding Sabtu lalu.

"Alhamdulillah, sekarang mak dah dimasukkan ke ICU dari wad biasa untuk pemantauan lebih rapi oleh doktor. Sekurang-kurangnya ada petanda yang bagus sebab doktor nampak mak macam ada harapan untuk sihat dan 'survive'.

"Sekarang doktor juga fokus untuk rawat mak secara intensif. Malah, dari dua ubat untuk kuatkan jantung yang diberikan doktor sebelum ini, dah jadi satu ubat saja serta dos juga dikurangkan. Jantung mak pun dah boleh bergerak dengan baik.

"Selain itu, doktor juga sudah menghentikan ubat tidur untuk mak dan kini dalam proses nak sedarkan dia secara semula jadi. Tapi, tak tahulah bila mak boleh sedar sama ada hari ini, esok, lusa atau bila-bila masa, memang tak boleh dijangka," katanya kepada Harian Metro.

Fais berkata kini dia dan keluarga akan memantau perkembangan kesihatan ibunya daripada makluman terkini yang dikongsikan oleh doktor dari semasa ke semasa.

Ujarnya, setakat ini ada perkembangan yang bagus daripada ibunya tapi, masih lagi terlalu jauh untuk memikirkan rawatan lain yang perlu dilakukan pada masa akan datang.

"Apapun, saya ucapkan terima kasih pada semua yang mendoakan kesihatan ibu saya dan sentiasa bertanya khabar mengenai perkembangan terkininya. Hanya Allah saja yang membalasnya," katanya.

Terdahulu Aripah yang juga kakak kepada pelakon Normah Damanhuri dimasukkan ke HKL pada Jumaat lalu selepas paras oksigen dalam badannya menurun dan terpaksa ditidurkan.

Difahamkan juga, Aripah mengalami jangkitan kuman dalam darah dan sudah merebak sehingga menggganggu fungsi organ tertentu di dalam badannya termasuk di bahagian buah pinggang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2022 @ 9:00 PM