MUAZ menyuapkan makanan ke mulut Aman yang menjayakan watak Orang Kelainan Upaya (OKU).
MUAZ menyuapkan makanan ke mulut Aman yang menjayakan watak Orang Kelainan Upaya (OKU).
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon Muaz Fitri tidak menyangka salah satu babak dengan penyanyi, Aman Aziz dalam telefilem Kasih Abang menjadi tular di TikTok.

Muaz berkata, ramai pengguna aplikasi itu menganggap video yang dimuat naik seorang pengguna laman sosial itu adalah video sebenar antara abang dengan adik. 

Menerusi video terbabit, Muaz dilihat menyuapkan makanan ke mulut Aman yang menjayakan watak Orang Kelainan Upaya (OKU).

"Video ini mencecah hampir 200,000 di TikTok. Ada komen yang sedih dan simpati sebab tak perasan ianya adalah sebuah penggambaran. Mungkin sebab latar lagu terbabit.

"Dalam TikTok ada yang bertanya kenapa terdapat wanita dalam video itu ketawa. Bagaimana tak ketawa, kalau Halim Radzi (pelakon) sering buat lawak. Mentang-mentang kamera belakang dia," katanya.

Menurut pelakon yang terkenal menerusi drama Takdir Yang Tertulis, dia mengaku lakonan Aman sememangnya menjadi kerana berjaya membawakan watak itu dengan berkesan.

"Aman punya lakonan pun memang nampak 'real' sampai abang Arash (Arash Mohamad) ingat dia betul-betul OKU.

"Ada juga  yang kecam kata kami memperlekehkan OKU. Tapi inilah lumrah dunia tak semua orang suka. Kami sebagai pelakon cuba memberi yang terbaik untuk setiap watak yang diberikan.

"Semoga telefilem Kasih Abang ini dapat memberi sedikit teladan kepada kita semua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2022 @ 4:09 PM