Fauziah Ahmad Daud ketika majlis pra tonton filem pendek Asrar di Balai Seminar Tun Dr Hamdan Sheikh Tahir, Wisma DBP, Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Fauziah Ahmad Daud ketika majlis pra tonton filem pendek Asrar di Balai Seminar Tun Dr Hamdan Sheikh Tahir, Wisma DBP, Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pelakon dan pengarah berkaliber, Fauziah Ahmad Daud, 60, atau Ogy mengakui ada pihak sering menakut-nakutkan mereka yang mahu bekerjasama dengannya apabila mengaitkan sikap Ogy yang negatif ketika bekerja.

Ogy berkata, situasi itu membuatkan orang jadi takut dan dia mula terfikir sampai bila dia harus takut dengan kata-kata orang sedangkan dia bukannya seperti didakwa.

"Saya seorang yang kreatif. Kemudian apabila saya masih meneruskan kerjaya saya dalam industri ini, saya amat-amat kecewa dengan budaya kerja. Saya amat kecewa dengan budaya kerja belakang tabir industri kita. Saya sangat-sangat kecewa. Mereka tak faham skop kerja, tanggungjawab dan tidak mempunyai tahap pemikiran kritis," katanya.

Menurutnya, mereka tidak mempunyai cara di mana kerja itu boleh dilakukan dengan cepat.
"Bukan saja pelakon tapi juga semua yang di belakang tabir. Saya lihat penolong pengarah sekarang kerjanya hanya buat jadual. Itu salah. Kalau awak berdepan dengan saya, saya nak berdebat dengan awak semula mengenai kerja awak. Ini kerana kerja awak itu saya dah buat bila saya menuntut ilmu dengan Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin. Saya disuruh tarik kabel, pasang 'track' kerana saya nak belajar," katanya.

Ogy berkata, budaya kerja ini sudah tiada dan budaya kerja generasi sekarang sudah songsang. "Contohnya bab 'wardrobe', ada yang baca skrip dan ada yang tak, tapi tak faham apa yang menarik berkenaan watak ini dan warna yang bertepatan dengan watak ini? Semuanya mainkan peranan.

"Saya amat-amat kecewa dan tertanya-tanya, apa yang mereka belajar? Cukup dengan semua ini! Macam mana industri kita nak maju kalau terus begini? Saya kemukakan kepada Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional) untuk buat bengkel kerana nak mendidik apa sebenarnya budaya kerja kerana ia dah jadi songsang. Saya berani bersuara kerana berguru dengan bukan calang-calang orang, Jins Shamsuddin dan Saadiah. Mereka bukan orang yang 'asal boleh' punya," katanya.

Ogy berkata, dia tidak takut bersuara untuk kemajuan industri kreatif tanah air kerana dia mahu betulkan 'urat-urat' yang kusut.

"Orang cakap usia saya sudah 60 tahun dan diminta bersara. Saya tak nak sebab saya nak betulkan dan fahamkan tanggungjawab sebagai orang seni. Orang lain tak nak ikut, biarkan.

"Generasi yang terbabit sekarang secara berleluasa ego tak bertempat. Kemudian cakap kita pula diva. Nak saja saya cakap, 'aku bukan diva, aku 'lejen' (legenda) okey'," katanya.

Ogy yang tampil dengan filem pendek arahannya, Asrar berkata, ramai tidak percaya dia boleh melakukannya, namun sudah terbukti ia kini menjadi kenyataan.

Filem Asrar yang menampilkan pelakon dan tenaga produksi terdiri daripada pelajar bengkel lakonan kelolaannya sekitar November lalu diarahkan Ogy selepas tempoh 50 tahun terbabit dalam dunia seni. Skripnya ditulis bekas Pengarang Hiburan Harian Metro, Roslen Fadzil, manakala lagu runut bunyi Duniaku nyanyian bekas wartawan hiburan dan personaliti televisyen, Zainal Alam Kadir.

Lagu ciptaan Datuk Johari Salleh itu pertama kali dirakam pada 1968 oleh Allahyarham S Ahmad.

Asrar adalah daptasi daripada karya terbitan Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) hasil tulisan Baharuddin Kahar berjudul Terima Kasih, Tuhanku.

Ia boleh ditonton menerusi pembelian khas secara dalam talian dalam laman web Ogy Venture & Network.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2022 @ 7:20 PM