Ogy Ahmad Daud.
Ogy Ahmad Daud.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: "Kita perlukan duit, tapi saya takkan melacurkan bakat saya!".

Demikian kata pelakon, Ogy Ahmad Daud membahas mengenai bayaran kepada pelakon senior yang dianggap semakin tidak masuk akal dan lebih rendah berbanding pelakon baharu.

Di Instagram rasmi Rap Harian Metro, Ogy juga menulis komen mengenai jalan penyelesaian bagi isu ini.

"Solusinya amat mudah. Mengenali nilai diri dan sedar kita aset negara. Tak berkenan tentang pembayaran, kita tolak dengan cara beradab. Itu saya.

"Hal pembayaran, hal dalaman. Setiap manusia ada harga, maruah diri, nilai diri dan yakin dengan rezeki yang Allah dah tentukan kepada kita," katanya.

Dalam temu bual bersamanya, Ogy mengakui lebih memilih karya yang ingin dilakonkannya kerana mahu memberikan lakonan yang mendidik penonton.

"Saya sekarang sangat selektif. Saya melangkah ke set untuk kongsikan mesej yang kuat, supaya dapat mendidik penonton yang menonton," katanya.

Menurut Ogy, walaupun lebih ramai pelakon-pelakon baharu yang muncul dari media sosial dan dibayar dengan harga tinggi, tapi ramai juga yang tidak ada rasa hormat kepada karya lakonan itu sendiri.

"Ia rezeki masing-masing, jangan salah faham. Saya tak rasa tergugat pun dengan kemunculan mereka kerana 'level' saya dah lain.

"Tapi, saya rasa kecewa apabila mereka memperkotak-katikkan seni ini. Sebab saya lahir dari rahim dan benih seniman negara," katanya.

Ogy juga meluahkan rasa terkilan apabila kerajaan memandang sepi golongan anak seni berbanding golongan ahli sukan.

"Bandingkan ahli sukan dengan pelakon. Kita makin lama, makin ranum. Ahli sukan, semakin berusia dah 'surrender'.

"Tapi, kenapa kerajaan lebih menitikberatkan ahli sukan berbanding seniman? Takkan saya nak masuk Parlimen untuk bercakap?" katanya.

Terbaharu, Ogy membintangi drama bersiri Ayahanda yang disiarkan dalam slot Lestary TV3, di samping barisan pelakon lain seperti Jalil Hamid, Noorkhiriah dan Fikry Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Julai 2021 @ 10:12 PM