Alha (kiri) ketika majlis menandatangani MoU bersama MAHSA University yang diwakili Dr Ikram Shah dengan disaksikan Dr Mohamed Haniffa dan Mohd Al Fareed.
Alha (kiri) ketika majlis menandatangani MoU bersama MAHSA University yang diwakili Dr Ikram Shah dengan disaksikan Dr Mohamed Haniffa dan Mohd Al Fareed.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Ahli perniagaan dan jurusolek artis terkenal, Datuk Seri Alha Alfa ingin mengangkat kerjaya solekan tanah air ke tahap tinggi apabila memeterai kerjasama dengan MAHSA University (MAHSA).

Alha atau nama sebenarnya Al Halim Al Fadzil berkata, melalui Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pusat pengajian tinggi itu, dia berharap dapat memperkasa kemajuan industri kecantikan negara menerusi bidang pendidikan.

Katanya, sebagai langkah permulaan ke arah kerjasama yang lebih besar mereka kini sedang dalam perancangan mewujudkan program pendidikan peringkat Diploma Seni Solekan dan Kecantikan.

"MoU ini adalah perjanjian persefahaman untuk menjalin kerjasama lebih erat dari segi kemahiran dan akademik dalam pengajaran, latihan, penyelidikan dan pembangunan produk dengan merangkumi program pengajian, pertukaran maklumat serta perkongsian kepakaran.

"Kerjasama ini juga membabitkan pertukaran penyelidik, tenaga pengajar dan pelajar di samping penganjuran persidangan kecantikan dan kesihatan di peringkat domestik dan antarabangsa. Sebagai Pengarah Eksekutif Alha Alfa Rich Legacy Sdn Bhd saya sangat berbesar hati mendapat kepercayaan untuk mengukuhkan jalinan kepakaran kami dengan MAHSA University, seterusnya memperincikan perancangan lebih besar selepas ini.

"Lebih istimewa, kami mempunyai perancangan mewujudkan program diploma di dalam bidang seni solekan dan kecantikan bagi membantu jurusolek Malaysia yang selama ini tercari-cari pengiktirafan akademik di peringkat universiti. Ini adalah permulaan yang baik untuk memastikan kehadiran jurusolek dihargai," katanya.

Alha ditemui ketika majlis menandatangani MoU bersama MAHSA University yang diwakili Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Ikram Shah Ismail dengan disaksikan Pro-Canselor dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan MAHSA, Tan Sri Dr Mohamed Haniffa Abdullah dan Pengarah Urusan AARLSB, Mohd Al Fareed Mohd Al Fadzil.

Pada majlis sama, Alha turut dianugerahkan Profesor Adjung daripada universiti terbabit.

Menurut Alha, dia sudah lama memiliki impian untuk meletakkan kerjaya jurusolek tempatan yang mempunyai kepakaran seperti individu dengan kerjaya sama di peringkat antarabangsa mendapat pengiktirafan sewajarnya.

Katanya, secara tidak langsung ia menaikkan karier jurusolek sebagai sebuah kerjaya profesional dan mempunyai prestij tersendiri bersandarkan kemahiran serta taraf pendidikan diperoleh.

"Sepanjang pembabitan saya di bidang ini selama 10 tahun, saya melihat jurusolek artis mempunyai potensi diangkat sebagai kerjaya profesional seperti karier profesional lain.

"Namun, stigma masyarakat yang melihat kerjaya ini sebagai 'kerjaya jalanan' atau menggelarnya sebagai 'kerja mak andam' sedangkan kepakaran jurusolek kita sudah diperakui di peringkat antarabangsa.

"Jadi sebagai seorang graduan universiti, saya melihat pengiktirafan akademik adalah perkara paling mustahak untuk membuka mata masyarakat bahawa kerjaya ini bukan ' low class'," katanya.

Sebagai permulaan, sesi penerangan menerusi program jelajah seluruh Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak bakal berlangsung pada bulan ini dan seterusnya ke seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2022 @ 2:50 PM