MIN-young dan Song Kang membintangi drama bersiri Forecasting Love and Weather.
MIN-young dan Song Kang membintangi drama bersiri Forecasting Love and Weather.
Syafil Syazwan Jefri


KEHADIRAN drama bersiri dari Korea Selatan sentiasa akan menjadi sesuatu yang dinanti-nantikan oleh penonton dan bakal menjadi fenomena.

Terbaharu, drama berjudul Forecasting Love and Weather akan menjadi satu lagi karya yang pasti menarik tontonan ramai, sekali gus popular di hati peminat.

Membariskan pelakon hebat antaranya, Park Min-young dan Song Kang, sudah tentu kedua-dua bintang ini akan menarik minat penonton untuk menyaksikan lakonan mantap mereka.

Berkesempatan menemu bual kedua-dua bintang Korea Selatan ini, mereka amat terbuka berkongsi pengalaman dan cabaran yang dilalui sepanjang proses pembikinan drama ini.

Bagi Min-young, tatkala membaca skrip drama berkenaan, dia terus jatuh hati untuk terbabit sama dan memegang watak sebagai Jin Ha-kyung.

"Ketika bertemu pengarah buat pertama kali, saya kemudian membaca skrip yang diberikan sebanyak beberapa kali.

"Dari situ, saya sudah mula nampak keserasian antara diri saya sebagai pelakon dengan watak ini, sekali gus membuatkan saya menerima terus tawaran diberikan," katanya.

Berkongsi mengenai watak yang dipegangnya, Min-young menggambarkan watak itu sebagai ketua yang perlu menunjukkan contoh baik kepada orang bawahannya.

"Jin Ha-kyung adalah ketua di jabatan kaji cuaca dan sebagai wanita yang sangat fokus dengan kerjaya, dia juga tidak mahu urusan cinta dan peribadi mengganggu kariernya itu.

"Dia perlu menjadi suri teladan kepada orang bawahannya. Apa yang boleh saya katakan, watak ini juga banyak memberi ilmu baharu kepada diri saya sendiri," katanya.

Sebagai persediaan, Min-young membuat kajian sendiri dengan menonton dokumentari serta beberapa rujukan berkaitan kaji cuaca.

"Saya ada tengok beberapa dokumentari sebagai rujukan sebelum memulakan penggambaran.

SONG Kang bawa sisi berbeza dalam drama Forecasting Love and Weather.
SONG Kang bawa sisi berbeza dalam drama Forecasting Love and Weather.

"Apa yang saya amati, dalam perjalanan kehidupan ini, ada ketikanya hujan lebat, ada ketikanya tidak. Dalam kata lain, ada ketikanya kita akan berdepan kesedihan dan tangisan.

"Untuk menjayakan watak ini, saya perlu jatuh cinta dengan cuaca dan kajian cuaca. Memang ia satu tugas mencabar, namun saya sukakannya apabila saya dapat merasakan 'adrenalina' saya meningkat," katanya.

Bagi Song Kang pula, dia juga membawakan satu sisi berbeza berbanding kebiasaan terutama dari sudut penampilan.

"Saya banyakkan menonton dokumentari berkaitan cuaca dan kerap menggunakan dialog pembaca berita kaji cuaca untuk biasakan diri saya dengan perkataan dalam bidang ini.

"Dalam drama ini, watak yang saya lakonkan adalah sebagai Lee Si-woo yang mana boleh dikata sebagai orang baharu. Jadi, watak Lee Si-woo ini sangat bertentangan dengan watak Jin Ha-kyung lakonan Min-young," katanya.

Diminta berkongsi pendapatnya mengenai cuaca dan perubahan emosi seseorang individu, Song Kang punya pendapat bahawa dia menghormati setiap emosi.

"Secara peribadi, saya adalah orang yang sukakan musim sejuk. Cuaca memainkan peranan dan memberi kesan kepada emosi seseorang individu.

"Apa yang saya lihat, kalau orang berada dalam keadaan panas atau marah, dia akan bercakap dengan lebih laju daripada biasa," katanya.

Selain Min-young dan Song Kang, drama bersiri ini juga dibarisi oleh pelakon lain seperti Yoon Bak dan Yura. Drama ini ditayangkan di Netflix mulai 12 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Februari 2022 @ 6:07 AM