Perkongsian Shima dan keluarga di Instagram apabila hamil anak ketiga. FOTO Instagram
Perkongsian Shima dan keluarga di Instagram apabila hamil anak ketiga. FOTO Instagram
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pelakon Shima Anuar, 31, kini hamil anak ketiga dan memohon maaf terpaksa membatalkan semua tawaran berlakon diterimanya. 

Isteri kepada Mohd Solih Toha itu berkata, dia dan suami tidak pernah merancang mengenai zuriat, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada rezeki Allah.

"Doakan saya dan bayi supaya sihat, selamat dan dipermudahkan segala urusan. Saya juga ingin memohon maaf kepada seluruh warga produksi kerana terpaksa membatalkan semua tawaran berlakon yang diberikan kepada saya.

"InsyaAllah sekiranya ada rezeki pada masa akan datang, kita berjumpa lagi. Sementara itu, jangan lupa saksikan dua drama lakonan saya iaitu Suami Lelaki Pendosa dan Bila Hati Memilih Dia. 

"Selain itu, sebuah telefilem Kancheong yang juga baru saja selesai penggambaran akan bersiaran tidak lama lagi. Saya mendoakan yang terbaik buat semua. Amin," katanya.

Terdahulu, menerusi paparan di Instagram yang dimuat naik semalam itu, ramai peminat dan rakan selebriti menulis di ruangan komen mengucapkan tahniah.

"Seronoknya ada bayi lagi…tahniah Shima semoga dipermudahkan segala urusan. Kita akan sentiasa menunggu aktiviti yang dilakukan Shima di rumah yang mana pelbagai barangan dibeli di atas talian," kata Nabila Huda.

"Alhamdulillah..apabila selalu jaga badan dan sihat dalaman, senang hendak lekat. Tahniah Shima," komen Ozzlyn.

Selain itu, Ayda Jebat, Sherry Ibrahim, Adeline Tsen, Julia Farhana, Ezzaty Abdullah dan ramai lagi turut mengucapkan tahniah kepada pelakon wanita itu. 

Shima mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Mohd Solih Toha pada 2017 serta sudah dikurniakan dua cahaya mata iaitu Marian Sophia dan Mikhael Iman.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Februari 2022 @ 12:53 PM