ELLY Mazlein. FOTO IG Elly Mazlein
ELLY Mazlein. FOTO IG Elly Mazlein
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi Elly Mazlein, 41, mudah berasa penat dan hilang selera makan apabila usia kandungannya kini sudah mencecah tiga bulan.

Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi berkata, pengalaman kali ini amat berbeza dengan kehamilan pertamanya lima tahun lalu dan tidak menolak ia ada kena-mengena dengan faktor usia.

"Ketika mengandungkan Sefhia dulu lain, sekarang baru tiga bulan tapi rasanya seperti enam bulan. Memang cepat letih sekarang, mungkin ini berlaku kerana mengandung di usia 40-an.

"Selain itu saya juga kurang selera makan, malah tidak boleh bau bawang putih dan bawang merah. Saya sendiri juga tidak boleh masak," katanya.

Menurut Elly, dia bersyukur dengan rezeki kehamilan ini selepas mengalami keguguran tahun lalu.

"Jika ikutkan saya mahu umumkan ketika kandungan memasuki empat bulan. Moden macam mana pun pasti mahu ikut cakap orang tua. Namun, ia agak sukar sebab saya keluar televisyen hampir setiap minggu, jadi saya ambil keputusan umumkan apabila kandungan memasuki usia tiga bulan.

"Ini adalah hadiah paling bermakna buat kami sekeluarga. Selain suami, anak saya juga tidak sabar untuk mempunyai adik. Insya-Allah saya dijangka bersalin November ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Elly kini muncul dengan program masakan Senduk Kuali Kak Lina Pom Pom sebanyak 28 episod.

Program yang ditayangkan setiap hari sepanjang Ramadan ini di RTM diterbitkan Mache All Star United Sdn Bhd dan Minyak Masak Kijang Gold. Ia memaparkan pelbagai menu masakan menarik bersama artis jemputan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 April 2021 @ 2:12 PM