ELLY Mazlein bersama suami.
ELLY Mazlein bersama suami.
Sudirman Mohd Tahir


ELLY Mazlein, 39, mengakui bakal suaminya yang dikenali sebagai Azlan, 29, atau digelar Papa Awan Nano itu sudah mula mengumpul peminat tersendiri sejak dia memuat naik gambar dan video di Instagram.

Sempena hari jadi bakal suaminya itu semalam, Elly turut memuat naik video yang memperlihatkan sedikit wajah lelaki itu dari celahan bunga.

Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi berkata, apabila tiba waktu sesuai dia akan berkongsi wajah suaminya kepada umum.

“Baru saya sedar, rupa-rupanya belum apa-apa lagi Papa (Azlan) sudah mengumpul ramai peminat kerana semua tak sabar nak tengok wajahnya.

“Namun, Papa bukan dalam kalangan selebriti. Dia pun ada cakap, bagi reda dan bersedia dulu. Apabila sudah bersedia, barulah saya akan tunjuk wajahnya.

“Jangan risau, semua akan nampak wajah Papa nanti. Saya takkan kecewakan peminat Papa Awan Nano. Cuma, bagi dia ruang sikit. Jadi, kalau nak tengok Papa, tunggu di empat majlis lagi. Tiga di Kuala Lumpur dan satu di Kelantan,” katanya kepada Harian Metro.

Elly yang juga pengacara program Mentor Milenia 2019 di TV3 berkata, dia juga belum memutuskan sama ada akan memperkenalkan bakal suaminya pada majlis bertunang atau berinai.

“Mungkin saya akan tunjuk ketika majlis bertunang atau berinai. Apa-apa pun tunggu dan lihat perkembangan di Instagram saya nanti,” katanya.

Elly yang juga ibu tunggal anak satu berkata, bakal suaminya itu seorang yang cukup memahami kerjayanya sebagai artis.

”Apabila kami berada di khalayak ramai, alhamdulillah dia okay dan senang sangat. Kadang-kadang jika kami berjalan, orang akan menuju kepada saya untuk bergambar. Jadi, dia pun terkena tempias sama. Namun, dia tahu nak kawal situasi. Jadi, saya berasakan dia menghargai peminat saya,” katanya.

Terdahulu, Elly berkongsi dia dirisik keluarga Azlan pada 19 Oktober lalu.

Elly yang pernah berkahwin dengan pengarah, Azmi Hatta pada 2014 dikurniakan anak perempuan, Putri Sara Sefhia sebelum bercerai pada 2015 ketika hamil empat bulan.

VIDEO yang dimuat naik oleh Elly.
VIDEO yang dimuat naik oleh Elly.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Oktober 2019 @ 3:05 PM