BANTUAAN yang disampaikan Seniman kepada anak Allahyarham Pian Cecupak.
BANTUAAN yang disampaikan Seniman kepada anak Allahyarham Pian Cecupak.
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menerusi Seniman Prihatin menyantuni anak-anak dan ahli keluarga Allahyarham Pian Cecupak atau nama sebenarnya Mohd Rafik Abdul Raman di kediaman anaknya di Flat Sri Kelantan Sentul, semalam.

Exco Agama dan Muafakat Seniman, Salman Al-Farisi berkata, kunjungan mereka bertujuan untuk meringankan beban yang ditanggung oleh dua anak arwah, Nuraina Fazrin dan Nurleena Fazrin serta ibu Pian iaitu Zainon Saidin, 72. 

"Rombongan yang disertai Setiausaha Kerja Seniman, Amali ini turut membawa bersama beberapa rakan strategik.

"Mereka juga menyumbang bantuan berupa kewangan dan barangan keperluan harian daripada PERKESO dan KKKL TNB.

"Bekas pengacara dan pelakon skuad elit iaitu Zamshuri Ramli bersama beberapa rakan dari ASIAPEZ juga bersama kami dalam misi ini," katanya kepada Harian Metro. 

Terdahulu, Pian yang meraih populariti menerusi kumpulan Cecupak pada 1998 ditemukan dalam keadaan duduk dan tidak sedarkan diri di dalam bilik air kediaman ibunya di Flat Sentul Murni, di sini, kira-kira jam 8 malam, 26 Januari lalu. 

Arwah disahkan meninggal dunia dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda, pada keesokannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 January 2022 @ 5:59 PM