Allahyarham Pian Cecupak
Allahyarham Pian Cecupak
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pelawak dan pengacara Pian Cecupak, 52, meninggal dunia selepas ditemui terjatuh dalam bilik air di kediaman ibunya di Flat Sentul Murni malam tadi.

   Adiknya Hassenah berkata, abangnya ditemui oleh ibunya dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam bilik air sekitar jam 8 malam tadi.

   "Punca kematiannya belum diketahui. Sepatutnya abang ada tawaran show esok, tapi kami tidak pasti dimana.

   "Proses pengkebumian juga belum dapat dipastikan dimana buat masa ini dan hanya akan diketahui esok.

   "Buat masa ini jenazahnya masih di rumah emak dan selepas ini akan ditempatkan di surau di sini," katanya kepada Harian Metro. 

   Terdahulu, akhbar ini melaporkan Allahyarham Pian atau nama sebenarnya Mohd Rafik Abdul Raman dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), selepas mengalami kesukaran bernafas pada Oktober 2018.

   Pian kerap berdepan masalah semput dan sering menerima rawatan daripada doktor.

  Doktor kemudiannya mengesahkan dia mengalami serangan jantung dan diletakkan di Wad Pemulihan Jantung (CRW).

   Allahyarham bercerai dengan bekas isteri pada 2000 dan menerusi perkahwinan itu, dikurniakan dua anak iaitu Nuraina Fazrin dan Nurleena Fazrin. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 12:12 AM