Anuar Zain pada sidang media mengenai majlis makan malam Amal Anuar Zain 'Karena Aku Cinta'. FOTO ROHANIS SHUKRI
Anuar Zain pada sidang media mengenai majlis makan malam Amal Anuar Zain 'Karena Aku Cinta'. FOTO ROHANIS SHUKRI
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Penyanyi terkenal Anuar Zain mengesahkan dia bukan penyanyi gantian bagi menyanyikan lagu Boneka yang layak ke Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL 36).

Lagu Boneka adalah nyanyian asal Ernie Zakri yang kini sarat hamil anak pertama dan dijangka bersalin tidak lama lagi.

Nama Anuar, 52, disebut-sebut pengguna laman sosial sebagai antara penyanyi yang layak menyanyikan lagu itu apatah lagi, antara kedua mereka mempunyai pertalian saudara iaitu bapa dan anak saudara. 

"Boneka adalah lagu yang sangat menarik. Saya sendiri tak tahu siapa yang dipilih untuk menggantikan Ernie. Sejujurnya, kalau kami berjumpa, kami memang kurang bercakap soal kerja.

"Saya sendiri belum tahu siapa yang ganti, tetapi setakat ini bukan saya. Jika ada tawaran untuk ganti pun, saya tak tahu nak kata apa sebab sebenarnya lagu Boneka itu sangat susah.

"Orang ingat lagu itu 'simple', tapi susah sebenarnya. Saya sendiri berharap Ernie berjumpa dengan pengganti yang bagus," katanya. 

Selain Anuar, peminat turut mencadangkan ibu saudara Ernie, Ziana Zain untuk menggantikan penyanyi itu.

Anuar ditemui di sidang media Makan Malam Amal Anuar Zain - Karena Aku Cinta di Pullman Bangsar, di sini, semalam.

Makan Malam Amal Anuar Zain - Karena Aku Cinta bakal diadakan pada 5 Mac depan di Ipoh International Convention Centre (IICC).

Majlis makan malam amal anjuran bersama Bond Holdings Sdn Bhd, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Sycal Ventures Berhad itu bertujuan untuk berhibur sambil beramal.

Harga tiket dari RM 230, RM280 dan RM380. Untuk sebarang info lanjut dan pembelian tiket boleh hubungi atau WhatsApp di talian 011-36088001 atau boleh dapatkan tiket di kaunter tiket Bond Suites Sales Gallery @ IICC.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 January 2022 @ 4:54 PM