MAHU kembali berlakon kerana merindui rakan-rakan artis dan media.
MAHU kembali berlakon kerana merindui rakan-rakan artis dan media.
Ridzuan Abdul Rahman


PEMINAT industri seni tanah air tentu masih kenal dengan pelakon Zamshuri Ramli yang membintangi drama bersiri Skuad Elit dan diterbitkan pada 2003.

Biarpun sudah 19 tahun berlalu, lakonan mantap Zamshuri disamping pelakon lain seperti Tony Eusof, Rita Rudaini, Serina Redzuan dan ramai lagi kekal diingati peminat.

Zamshuri atau nama sebenarnya Nor Zamshuri Ramli, 51, pernah memperlahankan kerjaya lakonannya selama dua tahun atas beberapa faktor antaranya menjaga bapa yang uzur dan kemudian meninggal dunia pada 2011.

"Ketika karier seni saya dianggap berada diambang kejayaan, saya sering jadi pilihan penerbit untuk membintangi drama dan filem mereka.

"Syukur kerana boleh dikatakan saya tak menang tangan dengan tawaran berlakon ketika itu.

"Filem lakonan saya antaranya ialah Don (Bollywood), Misi 1511, Gerak Khas The Movie 3 dan Kepulangan," katanya.

Zamshuri juga pernah bergelar penyampai radio untuk IKIM FM serta menghasilkan album secara duet dengan pelakon Rashdan Baba berjudul Langkah yang berkonsep motivasi.

Peralihan masa menyaksikan Zamshuri memperlahankan aktiviti lakonan dan beralih kepada kerjaya lain seperti membuka perniagaan berkaitan latihan dan pembangunan insan berunsur motivasi.

"Saya juga kini aktif sebagai penceramah motivasi bebas. Sekarang, saya terpaksa fokus kepada perkara yang lebih penting dan menjadikan lakonan sebagai kerjaya kedua.

"Drama terakhir saya ialah Dendam Sarakit dan Transit Terakhir yang boleh ditonton menerusi YouTube.

"Bagaimanapun, saya macam nak buat 'comeback' kerana rasa rindu dengan semua rakan media dan artis," katanya.

Aktif dalam NGO

Sebagai penceramah motivasi, Zamshuri berbangga apabila baru-baru ini menerima anugerah dari Asiapez sebagai 'Top Motivator Award' dan 'Top Performance' untuk 2021.

Dia yang aktif dalam badan bukan kerajaan (NGO) turut bersyukur apabila dilantik sebagai Pengarah Komunikasi Korporat untuk Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM).

Persatuan yang ditubuhkan pada 2013 ini bertujuan membantu masalah berkaitan hutang dan liabiliti pengguna yang dihadapi rakyat Malaysia.

"Saya amat berterima kasih kepada Presiden 4PM, Rosland Mohd Arif kerana memberikan kepercayaan kepada saya untuk menggalas tanggungjawab ini.

"Sudah pasti saya akan menggunakan sedikit sebanyak pengalaman saya untuk membantu 4PM.

ZAMSHURI bersama Rosland.
ZAMSHURI bersama Rosland.

"Badan yang berpusat di Ampang ini adalah satu-satunya NGO di Malaysia yang menjadi pakar mediasi bagi mengatasi pelbagai masalah perbankan, pakar dalam masalah urusan lelongan, kebankrapan, penstrukturan dan penjadualan semula hutang," katanya.

Menurutnya dalam tempoh sembilan tahun ini, 4PM menjadi NGO untuk rakan Jabatan Insolvensi Malaysia, Mahkamah Timbang Tara Malaysia dan menjadi sahabat Pasukan Tindakan Cemas Malaysia.

"Alhamdulillah pelantikan ini memberikan sedikit peluang kepada saya untuk membawa 4PM lebih menyeluruh ke seluruh Malaysia selepas sembilan tahun penubuhan.

"4PM satu-satunya NGO dalam negara kita yang aktif dan memberi tumpuan sepenuhnya pada masalah hutang piutang yang dialami masyarakat di negara ini.

"4PM adalah satu tempat hentian (one stop centre) untuk permasalahan perbankan, kredit sivil dan permasalahan konsumer," katanya.

Zamshuri berkata, perkhidmatan 4PM disediakan untuk menghentikan tindakan sivil, perundangan dan gangguan pengutip hutang.

"Juga ia menghentikan lelongan hartanah dan kenderaan, menghentikan prosiding kebankrapan, mengeluarkan dan memberikan laluan masyarakat daripada muflis.

"Kemudahan lain ialah boleh keluar dari kebankrapan, penggulungan syarikat dan pembekuan akaun, melupuskan nama dari senarai hitam, mengelakkan kenderaan ditarik, mengelakkan rumah disita, melupuskan, merendahkan faedah dan merendahkan komitmen bulanan, menjadualkan pembayaran semula tunggakan pinjaman dan mengecilkan jumlah tuntutan.

"4PM menawarkan khidmat kepakaran kepada semua rakyat Malaysia dengan bertindak pantas menghentikan kekerasan, penganiayaan, kepincangan yang dilakukan oleh pegawai dari institusi kewangan dan tindakan sivil dari pengutip hutang dan daripada semua yang kita tempuhi.

"Banyak kecelaruan sudah berlaku dan dalam masa sama kecelaruan yang dikenal pasti membabitkan penyalahgunaan kuasa daripada perkhidmatan bank, bermula dari kakitangan sampai ke jabatan kerajaan yang berurusan dengan masyarakat," katanya.

Menurut Zamshuri, mereka (4PM) akan berada di hadapan untuk memberi sedikit ruang untuk membantu masyarakat dengan mengambil tindakan sewajarnya.

"4PM mengalu-alukan wakil dari setiap negeri, tetapi mereka yang berminat perlu menghantar maklumat diri kerana kami mahukan individu yang betul-betul berintegriti tinggi.

"Mereka yang pernah bekerja di sektor perbankan ataupun ada pengalaman dalam bidang guaman dan masih berstatus sebagai peguam dialu-alukan juga menjadi wakil kami di NGO ini.

"Kalau boleh kami nak dapatkan wakil di seluruh Malaysia. Mereka perlu tinggi integriti berlatar belakang perbankan dan peguam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 6:23 AM