Yusmizal Dolah Aling dan Mazizul Dani


Kuala Lumpur: Ada yang menyamar sebagai pegawai mahkamah, pegawai institusi kewangan untuk mengutip hutang lapuk, malah lebih biadab apabila sanggup menggunakan identiti anggota polis yang sudah meninggal dunia.

Tindakan keji itu dilakukan semata-mata menekan pengguna untuk membayar hutang yang diklasifikasikan sebagai lapuk walaupun ada antara kes itu sudah pun selesai bertahun-tahun, semuanya kerana ingin mendapatkan habuan lumayan.

Mendedahkan perkara itu, Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd Arif berkata, pengutip hutang ini sanggup menggunakan pelbagai taktik termasuk mengugut untuk menyita barangan milik peminjam.

“Ada yang memberikan tempoh terlalu singkat untuk peminjam menyerahkan wang sebagai dorongan untuk tidak menyita barangan dan itu menjadikan peminjam hidup dalam ketakutan.

“Kami langsung tidak menyangka, mereka ini ada yang sanggup menggunakan siren kereta peronda ketika datang berjumpa peminjam kononnya mereka adalah pihak berwajib. Ini sesuatu yang tidak betul,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, sejak 2013, pihaknya menerima lebih 1,000 aduan berkaitan ugutan pengutip hutang dan sudah sampai masanya isu itu diketengahkan kerana mereka ini dilihat semakin melampau selain bertindak di luar batas undang-undang.

“Mereka bertindak dengan cara sendiri. Secara logik, tidak perlu mengugut untuk mendapatkan bayaran balik kerana ada saluran yang boleh digunakan.

“Ini sampai mengugut untuk sita barang, datang rumah, datang pejabat dan sebagainya. Ia tidak betul. Memang kutipan hutang itu adalah mengikut saluran, tetapi cara digunakan itu yang salah,” katanya.

Menurutnya, 4PM bertindak sebagai orang tengah untuk membawa perkara itu kepada pihak yang menuntut, mengadakan perbincangan dan penyelesaian bagi setiap kes.

“Kami akan ke bank yang terbabit, berbincang bagi pihak pengadu dan Alhamdulillah, kes dapat diselesaikan. Setiap kes yang dirujuk kepada kami akan diteliti supaya kita tahu di mana bantuan boleh diberi. Jadi kami pastikan wujud situasi menang-menang sama ada bank dan juga pengadu.

“Masyarakat tidak tahu nak ke mana, bila ditekan, mereka hanya fikir untuk sediakan wang yang diminta tanpa memeriksa dulu fakta kes. Ada yang ketakutan dan hidup dalam keadaan trauma sehingga institusi keluarga menjadi porak-peranda,” katanya.

Rosland berkata, pihaknya juga mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) untuk berperanan sebagai pihak ketiga membantu pengadu dan ia digunakan sebaiknya untuk membantu orang ramai yang berdepan masalah.

“Kami akan terus membantu kerana pada saya, tidak ada individu yang perlu menjadi mangsa. Walaupun hutang, pasti ada jalan untuk membolehkan mereka bayar, bukan dengan cara ugutan,” katanya.

ROSLAND Mohd Arif
ROSLAND Mohd Arif

‘Kakitangan mahkamah’ ugut sita

Bukan saja menekan emosi mangsa dengan membuat panggilan tanpa henti, pemungut hutang turut berani menyamar sebagai kakitangan Mahkamah Kuala Lumpur.

Mangsa, Bakhtiar, 50-an (bukan nama sebenar) berkata, dia menerima panggilan daripada individu bernama Ramlah yang mendakwa bertugas di Jabatan Logistik dan Pengangkutan Mahkamah Kuala Lumpur.

“Dia paksa saya untuk membuat bayaran RM1,200 sebelum jam 4 petang pada 18 April lalu kerana kononnya Waran Sita Barangan Mudah Alih (WSS) sudah dikeluarkan.

“Sekiranya gagal, dia mengugut yang tiga pegawainya bersama dua anggota polis akan datang ke rumah saya di Perak untuk menyita harta benda dan melelongnya,” katanya.

Bagaimanapun, tiada sesiapa yang datang untuk menyita barangannya walaupun dia gagal memenuhi permintaan pemungut hutang itu.

Pada masa sama, Bakhtiar memberitahu Ramlah bahawa institusi kewangan yang memberi pinjaman kepadanya sudah mendebitkan hampir separuh amaun yang diminta daripada akaunnya.

“Ramlah mendakwa dia tidak mengetahui perkara itu dan meminta saya mengkreditkan bakinya ke akaun lain. Hingga kini saya tidak menerima panggilan lagi daripada Ramlah yang berjanji akan memberikan nombor akaun itu kepada saya,” katanya.

Macam ada orang nak bunuh

“Terasa seolah-olah ada yang mengekori dari belakang sampai tak berani berjalan di dalam gelap.”

Itu antara trauma dihadapi mangsa gangguan panggilan pemungut hutang, Razak, 40-an (bukan nama sebenar) sejak empat bulan lalu.

Kehidupannya juga semakin kacau-bilau gara-gara tekanan yang dihadapi daripada panggilan tidak henti-henti itu.

“Jika mahu ke tempat kerja pun kadangkala saya ajak rakan temankan kerana risau dengan keselamatan diri. Nak keluar ke mana-mana pun terasa seperti ada orang mahu bunuh saya dari belakang, sukar tidur malam apatah lagi sekiranya menerima panggilan daripada nombor tidak dikenali,” katanya.

Masalah dihadapinya itu disebabkan hutang lapuk membabitkan hutang kad kredit dengan bank 14 tahun lalu yang akhirnya mengundang kepada masalah ini.

“Malu dengan rakan sekerja kerana mereka (pemungut hutang) membuat panggilan sehingga ke tempat kerja saya. Saya terpaksa tukar nombor telefon kerana tidak tahan lagi diganggu dan menemui 4PM untuk minta bantuan selesaikan masalah saya ini,” katanya ketika ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2017 @ 6:09 AM
PENGUTIP hutang sanggup menggunakan pelbagai taktik untuk mendapatkan habuan lumayan.
PENGUTIP hutang sanggup menggunakan pelbagai taktik untuk mendapatkan habuan lumayan.