FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Ingin bergaya, pembelian melebihi kemampuan di samping gaya hidup mewah menjadi faktor kebanyakan individu diisytiharkan muflis selepas gagal menjelaskan hutang pinjaman.

Itu kesimpulan yang boleh dibuat apabila faktor kebankrapan individu di negara ini banyak berpunca daripada pinjaman peribadi berbanding faktor lain.

Perkara itu diakui Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) yang turut menerima beberapa laporan berhubung kes berkenaan dan sebahagian peminjam membuat pinjaman tanpa memikirkan bebanan komitmen.

Rekod Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) setakat Oktober lalu menunjukkan, sebahagian besar individu yang diisytiharkan muflis berpunca daripada pinjaman peribadi.

Untuk rekod, sepanjang lima tahun iaitu bermula 2017 hingga Oktober 2021, 22,756 individu diisytiharkan muflis iaitu mewakili 37.94 peratus daripada beberapa faktor lain.

Jurucakap MDI berkata, berdasarkan laporan kebankrapan menunjukkan, jumlah kes yang ditadbir sehingga Oktober lalu adalah 290,619.

Menurutnya, bagi kes kebankrapan untuk tempoh lima tahun iaitu 2017 hingga Oktober lalu, ia membabitkan sebanyak 59,974 kes.

"Berdasarkan jumlah kes kebankrapan pula, kita dapat lihat bahawa faktor kebankrapan banyak disebabkan oleh pinjaman peribadi iaitu 22,756 kes sepanjang lima tahun berkenaan.

"Untuk tahun ini saja, 2,461 kes sudah ditadbir manakala bagi sebab lain, ia membabitkan sewa beli kenderaan iaitu 10,568 kes bagi tempoh lima tahun sebelum ini juga.

"Untuk perincian lanjut, kita turut dapati bahawa individu yang bekerja di sektor swasta merekodkan antara jumlah kes yang tinggi iaitu 19,581 berbanding sektor pekerjaan lain," katanya.

Menjelaskan lanjut, jurucakap memaklumkan bahawa nilai ambang keberhutangan yang sering dilaporkan adalah antara RM100,000 hingga RM499,999 iaitu 649 kes untuk sepanjang 2021.

Ia mewakili jumlah paling besar iaitu sebanyak 55.05 peratus.

"Untuk kategori umur pula, kebanyakan kes yang dilaporkan membabitkan individu berusia 35 hingga 44 tahun membabitkan 21,804 kes," katanya.

Mudah tewas dengan iklan pinjaman peribadi

Kuala Lumpur: Gagal menguruskan kewangan termasuk bebanan komitmen yang tinggi menjadi faktor utama ramai individu 'terjerat' dengan penawaran skim pinjaman peribadi oleh institusi perbankan.

Iklan penawaran pinjaman peribadi yang 'menyelerakan' turut menjadi faktor pendorong individu berkaitan membuat pinjaman peribadi.

Mendedahkan perkara itu, Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) Leftenan Kolonel (Kehormat) Che Hassan Che Johan menjelaskan, ada dalam kalangan individu itu membuat pinjaman semata-mata mahu berbelanja serta menjalani gaya hidup mewah.

Mereka turut membeli gajet terkini termasuk mempamerkan barangan mahal sesama sendiri.

"Tidak dinafikan ada juga yang mengambil pinjaman peribadi ini untuk memulakan perniagaan termasuk teknik pusingan wang (rolling money) yang menjerat mereka.

"Tambahan pula, tempoh pasca Covid-19 sejak dua tahun ini banyak mengakibatkan individu tertentu hilang pekerjaan sekali gus gagal menjelaskan komitmen bulanan," katanya.

Che Hassan berkata, penawaran iklan pinjaman peribadi oleh institusi perbankan ini sememangnya menarik namun perkara utama yang perlu difikirkan adalah perancangan kewangan jangka panjang.

Beliau berkata, mungkin individu berkenaan mampu untuk membayarnya dalam tempoh setahun ini tetapi bagaimana untuk jangka panjang.

"Berdasarkan perancangan kewangan yang bijak, seseorang individu itu perlu mempunyai lebihan wang gaji mereka melebihi 40 peratus pada setiap bulan.

"Ini bermakna, nisbah hutang mereka adalah 60:40 iaitu 60 peratus hutang dan 40 peratus lebihan, lagi tinggi peratusan lebihan, itu lebih baik," katanya.

Menurutnya, bentuk hutang secara pendahuluan seperti pinjaman kad kredit juga perlu dielakkan dan seharusnya setiap individu berbelanja mengikut kemampuannya.

Gaji RM4,200 hanya tinggal RM500

Kuala Lumpur: "Wang gaji berbaki sekitar RM500, macam mana saya hendak hidup di bandar, minyak kereta lagi, tol, makan, minum dan lain-lain."

Itu keluhan seorang lelaki berusia 35 tahun yang terjerat dengan godaan pinjaman peribadi menyebabkannya tidak lagi mampu menanggung komitmen berkenaan.

Menceritakan lanjut, dia yang hanya mahu dikenali sebagai Syazlan (bukan nama sebenar) berkata, pendapatan kasar bulanannya sekitar RM3,800 hingga RM4,200 namun terlalu banyak komitmen yang perlu ditanggung.

"Jika tengok pada jumlah gaji kasar sememangnya tinggi namun saya banyak hutang dan komitmen.

"Akaun pinjaman peribadi saja sudah ada dua dengan nilai anggaran komitmen sekitar RM1,300, sewa beli kenderaan RM1,000, sewa rumah lagi, petrol, makan dan macam-macam lagi.

"Akhirnya baki wang gaji tidak sampai RM500. Macam mana saya hendak hidup dalam tempoh sebulan sebelum tempoh pembayaran gaji semula," katanya.

Mengambil jalan singkat, Syazlan menyatakan yang dia sudah tidak membuat bayaran bagi kedua-dua pinjaman berjumlah RM70,000 itu dalam satu tempoh yang lama.

"Banyak kali institusi perbankan hubungi saya sampai saya tukar nombor, ejen pengutip hutang juga ada hubungi.

"Saya juga terima surat sebutan kes di mahkamah dan akhir sekali, saya terima notis kebankrapan.

"Ketika ini, saya tidak tahu nak buat apa dan kini masih dalam proses rundingan untuk komitmen pembayaran menerusi bantuan Jabatan Insolvensi," katanya.

Bagi Yani (bukan nama sebenar), 30, keinginannya yang gemar bertukar telefon pintar selain mendapatkan gajet terkini sememangnya menjerat dirinya.

Biarpun dia masih belum menerima notis kebankrapan namun sudah mempunyai tunggakan enam bulan bagi pinjaman peribadi berjumlah RM30,000.

"Saya akui, kegilaan saya terhadap gajet terkini dalam pasaran menjerat diri dan kini tidak mampu untuk menjelaskan baki tunggakan dengan institusi perbankan.

"Sekarang, saya dalam proses rundingan dengan pihak bank untuk mengurangkan bayaran pinjaman dan berharap mendapat satu jumlah yang mampu untuk saya bayar setiap bulan," katanya.

Pada masa sama, Naib Presiden 3 Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) Azman Kang menyatakan ada menerima beberapa aduan untuk mendapatkan khidmat nasihat kewangan.

Menurut Azman, sebahagian besar individu ini lemah dalam pengurusan kewangan dan terlalu mengikut kehendak semasa sehingga mengabaikan keupayaan untuk menjelaskan komitmen bulanan.

"Kita hanya boleh beri cadangan dan nasihat kepada mereka, individu ini juga sebenarnya boleh mengadakan perbincangan dengan Jabatan Insolvensi dan institusi perbankan untuk melakukan pengurangan bayaran.

"Notis bankrap itu bukan penghabisan, sebaliknya ada cara serta ruang untuk proses rundingan dilaksanakan kedua pihak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 1:00 PM