Saiful Apek.
Saiful Apek.
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Pelawak Saiful Apek mengakui selalu meletakkan dirinya sebagai 'Ready and Reda' (R&R) sepanjang 27 tahun kariernya sebagai anak seni.

Saiful, 52, atau nama sebenarnya Mohd Saifulazam Mohammad Yusoff berkata, disebabkan itu dia sentiasa terbuka dengan apa saja kritikan dan cemuhan.

"Setiapkali itu juga saya sentiasa terbuka dengan kritikan, cemuhan, pandangan dan pendapat. Kalau terlalu 'down' sangat pun saya minta kata-kata semangat daripapa emak.

"Kita tahu disebalik kejayaan tersembunyi 99 kegagalan. Tapi berkat doa ibu yang selalu beri semangat yang buat kita sukses. Saya berpegang pada itu sahaja.

"Saya sudah tak kisah dan berpegang pada prinsip tak hidup dek puji tak mati dek keji. Insya-Allah kalau kita rasa kita masih lagi kuat kepada perkara yang betul, kita buat sahaja," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Saiful, keadaan kini juga sudah berubah di mana penggiat seni sepertinya berperang dengan zaman teknologi dan warganet.

"Suatu ketika 27 tahun lalu kami risaukan wartawan, pihak berkuasa dan stesen TV. Kita ada satu pihak atasan dari TV yang memantau pergerakan artis. Tapi sekarang kita lihat pihak atasan sendiri termasuk artis lebih takut dan ngeri kepada warganet," katanya.

Dalam pada itu, Saiful yang baru tersingkir dari program Gegar Vaganza 8 bersama Yassin bakal memulakan siri jelajah filem terbaharu Senariounion berjudul Jaga-Jaga Senariounion arahan Aziz M Osman bermula hujung Januari ini.

"Kami iaitu saya, Azlee, Wahid, Yassin, Illya dan Hamdan akan berada di negeri Johor, Melaka, Pahang, Kelantan dan Pulau Pinang dalam sesi promosi bertemu peminat.

"Acara pertama akan bermula di Hotel Sentral Johor Bahru pada 28 Januari ini untuk menyambut ulang ke-25 pembabitan kami dalam industri dunia hiburan. Jelajah ini bertemakan An Evening With SenarioUnion," katanya.

Acara ini mengenakan tiket berharga RM 150 (termasuk hi-tea & t'shirt edisi terhad. Keterangan lanjut dan cara mendapatkan tiket terhad ini akan diumumkan di Facebook dan Instagram SenarioUnion dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 1:26 PM